Pembuka kata



Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad s.a.w, kepada para Rasul, Para Nabi, Para Sahabat, dan kepada mereka yang berjuang di jalanNya. Semoga kita termasuk dalam golongan yang diredhai-Nya.


Showing posts with label Pengajaran dan Peringatan. Show all posts
Showing posts with label Pengajaran dan Peringatan. Show all posts

Saturday, August 6, 2011

cerita ikhlas

Kisah 1

Selepas memberi sebuah ceramah hebat yang dihadiri oleh puluhan ribu manusia. Hassan Al-Banna turut bersama dengan peserta untuk mengemas kerusi dan khemah. Datanglah seorang peserta kepada Imam berkata sambil menarik tangannya agar berhenti mengemas
"tidak usahlah Imam membebankan diri membantu kerja yang telah ditugaskan kepada kami. Imam masih penat berceramah, menyampaikan ilmu kepada kami"

Imam membalas dengan lembut
"Tidak, ini pun kerja bagi kudrat dikurniakan kepada-ku. Aku bimbang tentang amal-ku pada malam ini. Aku tidak tahu mana satu amalanku akan diterima oleh Allah, sama ada ilmuku yang telah kalin perolehi atau kerana aku membantu kerja kalian ketika ini. Aku juga mahu merebut peluang ini bersama-sama kalian"

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Kisah 2

Al-Khalil bin ahmad, dikenali sebagai orang yang soleh dan ahli ibadah yang cerdas. Al-khalil, dengan nikmat Allah padanya, telah berjasa mencipta ilmu hitung dalam puisi arab dan barisan harakat (tajweed) pada tulisan arab. (InsyaAllah, yang kita baca setiap hari, yakni pada Quran)

Setelah Al-khalil meninggal, ramai orang melihatnya dalam mimpi. Dalam mimpi itu mereka bertanya kepada Al-khalil
"Apa yang Allah lakukan terhadapmu?
Al-khalil menjawab
"Allah telah mengampuniku"
Mereka bertanya lagi
"dengan apa Allah mengampunimu? apakah dengan ilmu nahwu, ilmu arudh, ilmu bahasa atau dengan syair?"
Al-Khalil menjawab
"Tidak, demi Allah semua itu tidak berguna bagiku. Amal perbuatanku yang bermanfaat adalah surah al-fatihah yang aku ajarkan pada orang-orang tua di kampungku"



-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Kisah 3

Zubaidah, isteri Harun ar-rashid (khalifah ke5 kerajaan abassiah) hendak menunaikan haji bersama rombongan yang besar. dikatakan rombongan tersebut diiringi 700 ekor unta dan orang yang paling depan dalam rombongan tersebut berada dihujung kota Baghdad dan orang paling belakang berada di hujung yang lain.
Di tengah perjalanan, Zubaidah menemukan jemaah haji yang kehausan dan keletihan. Zubaidah kemudian menghabiskan jutaan dirham dan dinar membuat saluran air yang sekarangnya terkenal dengan nama "ainu zubaidah".
Setelah Zubaidah meninggal, kerabatnya melihatnya dalam mimpi dalam keadaan yang bahagia. Demikianlah dialog dalam mimpi tersebut
Anak: Ibu... apa yang telah Allah lakukan terhadapmu?
Zubaidah: Aku hampir mati dengan sia-sia
Anak: mengapa?
Zubaidah: ainu zubaidah hampir membuatku celaka
Anak: Subahanallah, engkau memberi minum jemaah haji dan membebaskan mereka dari rasa haus, tetapi engkau celaka?
Zubaidah: aku membangun saluran itu dengan riya'
Anak: kalau begitu, apa yang memberikan manfaat bagimu?
Zubaidah: yang bermanfaat bagiku adalah solat tahajjud dua rakaat yang ibu kerjakan pada tengah malam.


-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Kisah 4

Suatu hari, sedang Rasulullah duduk bersama sahabat yang lain dalam suatu majlis, ditengah-tengah memberi tunjuk ajar, Rasulullah saw berkata
"Sebentar lagi akan lewat di hadapan kalian seorang lelaki penghuni surga"
tidak lama kemudian, muncul seorang lelaki ansar.
 Salah seorang sahabat bernama Abdullah Ibn Amr tidak tenang, bagaimana lelaki ansar itu mendapat surga dan mengikuti lelaki ansar tersebut. Abdullah mencari alasan untuk menumpang di rumah orang ansar tadi selama tiga hari, dan lelaki ansar tersebut membenarkannya.
Selepas berlalunya tiga hari, Abdullah tak melihat sesuatu yang istimewa dari lelaki itu dalam ibadahnya. Abdullah terus bertanya kepada orang ansar, apakah yang diamalkannya sehingga rasulullah mengatakan bahwa dia ahli surga.
Orang ansar itu menjawab
"demi Allah, amalku tidak lebih dari yang kau lihat. Hanya saja aku tak pernah menyimpan niat buruk terhadap sesama manusia. Aku juga tak pernah ada rasa dengki kepada mereka yang mendapat anugerah dan kebaikan dari Allah"
Ibn Amr membalas, “Begitu bersihnya hatimu dari prasangka buruk dan perasaan dengki kepada orang lain. Inilah nampaknya yang membuatmu berada di tempat yang mulia itu. Sesuatu yang tak dapat aku lakukan”
------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Kisah 5

Dari ‘Aisyah RA, ia berkata:
“Nabi saw berdiri solat malam, hingga pecah-pecah kedua telapak kaki beliau. Saya bertanya kepada beliau; ‘Untuk apakah engkau berbuat ini, wahai Rasulullah, sedangkan engkau telah benar-benar diampuni dosa-dosamu yang telah lewat dan yang akan datang?’ Rasulullah bersabda: “Tak bolehkah aku menjadi hamba yang bersyukur.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

----------------------------------------------------------------------------------------------------------


Tamat Kisah

Telah dibentangkan kepada kamu 5 kisah yang harus dijadikan teladan.

Antara mereka ada yang sangat prihatin akan keikhlasan amalan mereka,
Antara mereka ada yang jasanya sangat besar terhadap masyarakat tetapi amalan yang menyelamatkan mereka adalah amalan yang telah dilupakan.
Antara mereka, selamat kerana terbiasa mengamalkan amalan luarbiasa.
Antara mereka, ada yang dipelihara dari dosa, tapi tetap teguh amalannya.

maka bagaimana dengan kita?
adakah antara kita yang betul-betul menjaga niat kita ketika dipuji dan dicela?
adakah antara kita mengambil berat terhadap setiap jenis amal kebaikan?
adakah antara kita terbiasa mengamalkan apa-apa amal kebaikan?
adakah antara kita, yang hidup merasa dosa, komited menghapuskannya?

Tidak siapa tahu sama ada amalan yang kita buat niatnya ikhlas atau tidak.
Tidak malaikat, tidak syaitan, mahupun insan itu sendiri.
Bila ditanya pada Rasulullah s.a.w, beliau menjawab
"Berkaitan dengan ikhlas, aku bertanya kepada Jibril a.s apakah ikhlas itu? Lalu Jibril berkata "aku bertanya kepada Tuhan yang Maha Suci tentang ikhlas, apakah ikhlas itu sebenarnya?" Allah SWT yang Mahaluas Pengetahuannya menjawab, "Ikhlas adalah suatu rahsia dari rahsiaKu yang Aku tempatkan di hati hamba-hamba yang Ku cintai".
(h.r Al-Qazwini)


aku tidak mampu untuk memberi konklusi untuk tajuk ini. cuma terdaya untuk memberi peringatan dan pesanan dari kisah-kisah lama. kisah yang layak untuk dijadikan pedoman hidup. maaf.

Pesan ahli ulama'
"Perbaikilah amalan kita dengan ikhlas, dan perbaikilah keikhlasan kita dengan menanamkan keyakinan bahwa tidak mungkin kita berupaya menyempurnakan amalan tersebut kecuali atas nikmat Allah yang ada pada kita."

Sungguh, Allah swt dan RasulNya juga lebih mengetahui.


beramallah seperti seorang muslim, sehingga layak melaungkan "saksikanlah! aku seorang muslim!" tanpa ragu.

Friday, June 24, 2011

assalamualaikum akak


Selesai blok Public Health yang kami lalui selama dua bulan di Nilai. Masing-masing antara kami mengemas barang untuk menetap kembali di cyberjaya.

Semasa sahabat aku sedang memanaskan keretanya, dan aku sedang menghidupkan enjin motosikalku, terlihat seorang wanita yang berpakaian seperti hendak shopping berdiri di tepi jalan. Macam kenal... Oh, rupanya wanita tersebut adalah cleaner block kami! yang berdiri di sebelah kami sewaktu dalam lif sewaktu kami munggah barang. Jauh sekali beza panampilannya sehingga kami tidak kenal jika akak (cleaner) tidak menegur. 

Akak: adik nak pergi mana? nak balik dah?
Kami: ha ah, nak balik cyberjaya, dah habis dah kelas kat sini. akak nak keluar berjalan?
Akak: ya... tapi mcm nak hujan ni, mcm tak jadi jer... habis tu adik tak datang balik lagi?
Kami: tak, kelas 2 bulan je kat sini. 
Akak: ala...... (sambil menampakkan wajah sedih, termenung sekejap), memang tak datang balik la ni? la.....
Kami: ....
Akak: adik blaja bidang ape? 
Kami: kedokteran.
Akak: jadi doktor la ni?... ala.... (mengeluh lagi).
Kami: hm.. kak, kami nak gerak ni, dah nak hujan. assalamualaikum kak, doakan kami jadi doktor. 
Akak: ok, assalamualaikum.

demikianlah dialog antara kami dengan akak cleaner. sepanjang dua bulan kami bertandang di flat Desa Palma, selalu terserempak dengan akak tadi. kami selalu memberi salam dan dibalasnya dengan senyuman. 

Pernah sekali dia menampakkan muka yang cukup tertekan semasa didalam lif, ketika dia sedang mengelap hasil contengan permanent marker pada dinding lif. Ditanya mengapa, dia dengan suara menahan sebak menjawab "diorang suke conteng, susah nak bersihkan ni", kemudian memandang kami dan memaksa dirinya untuk senyum. 
kami membalas senyuman, dan salah seorang dari kami berkata "sabar ya kak".


Ketika dalam perjalanan balik dari nilai ke cyberjaya, aku terfikir, mengapa akak tu kelihatan sedih akan pemergian kami?,mungkin salam dan senyuman kami dapat menghilangkan sedikit tekanan dari kerjanya. Dan pada ketika itu, terlintas sebuah hadith yang menyebabkan aku berasa syukur dan menyesal. 

Daripada Abi Hurairah r.a berkata, Rasulullah saw bersada:
"Kamu tidak akan masuk syurga sehinggalah kamu beriman, kamu tidak akan beriman sehinggalah kamu saling berkasih-sayang. hendakkah kamu aku tunjukkan sesuatu perkara apabila kamu melakukannya akan saling mengasihi? Sebarkanlah salam antara kalangan kamu" (h.r Muslim)

aku berasa syukur kerana peroleh pengajaran dari seorang akak cleaner, tapi sayangnya, kami tidak mengenali nama akak.

tidak kami sangka, dengan hanya salam dan senyuman, kami dan akak telah punya persahabatan. 

Sabda Rasulullah saw lagi
"Janganlah engkau memandang rendah bentuk apapun dari kebaikan, walaupun engkau hanya bertemu dengan saudaramu dengan muka manis" (h.r. Muslim)


Oh, tidak lupa juga kepada pengawal arab yang aku beri gelaran 'Pak Guard Assalamualaikum'. Tak kisah dimana aku bertemu dengannya, baik di pondok pengawal atau sedang membuat rondaan di blok kami, dialah orang yang pertama memberi salam. tidak pernah sekalipun selama 2 bulan aku yang memulakan salam bila bertemu dengannya. sungguh, pada pandanganku, dia antara insan terbaik. 

Abdullah bin Amr melaporkan,
"Sesungguhnya ada seorang bertanya kepada Rasulullah saw, Islam apakah yang paling baik? Beliau bersabda, "Engkau beri makan  orang yang memerlukan dan mengucapkan salam kepada orang yang engkau kenal ataupun tidak" (h.r. Bukhari dan Muslim)

InsyaAllah, dengan pengajaran yang telah kami lalui, kami akan lebih kerap memberi salam dan senyuman dengan atas dasar cinta pada Allah dan rasulnya.
Semoga juga dengan perkongsian ini,  kamu juga akan lebih kerap memberi salam dan memaniskan wajah bila bertemu dengan masyarakat dengan berpandukan sunnah. 

Seperti yang dikatakan oleh imam al-Ghazali
"Ilmu tanpa amal gila dan amal tanpa ilmu sia-sia"


Wednesday, November 17, 2010

Tak baik mengumpat

Penyakit hati yang punya sifat infeksi yang tinggi. Mari kita bacakan definisi mengumpat oleh Rasulullah

Abu Hurairah melaporkan,
Rasulullah pernah berkata,
   "Saudara-saudara tahu apa itu mengumpat?
Sahabat-sahabat beliau menjawab,
   'Allah dan utusannya yang lebih tahu.'
Rasulullah berkata,
   "mengumpat itu ialah saudara menyebut hal rakan saudara yang dia tidak suka.'
Ada orang bertanya,
 'Apa pandangan tuan apabila saudara saya itu memang sifatnya speperti yang saya sebutkan?'
Rasulullah menjawab,
   "apabila dia memang begitu, maknanya saudara mengumpat kepadanya. Apabila dia tidak bersifat seperti apa yang saudara katakan, bererti saudara memfitnahnya."
[H.R Muslim]


Sungguh mudah bagi kita untuk menceritakan perangai buruk tentang orang lain dan sukar untuk berbuat sebaliknya. Mudah itu dalam kedua-dua keadaan, iaitu dalam sengaja dan tidak.

Terkadang  risau bila melihat rakan-rakan berkumpul disatu tempat sama ada untuk makan atau beristirahat. Kerana tema tajuk utama perbualan biasanya adalah tentang kelemahan manusia selain mereka. Bosan menceritakan kelemahan 'kenalan' mereka yang memang sudah nyata, tema perbualan berubah kepada sangkaan sifat buruk kenalan tadi.

"aku rase die ni ... ... ..., sebab tu die ... ...".

"ala, die tu .. .. .., mcm ko tak biase pulak dengan perangai die"

Firman Allah tentang perkara ini.
"Wahai orang-orang beriman!. Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan(supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mengintip ataupun mencari kesalahan dan kaiban orang, dan janganlah setengah kamu mengumpat setengah yang lain. Adakah seorang daripada kalangan kamu suka memakan daging saudaranya yang mati? Apabila demikian mengumpat, sudah tentu kamu jijik padanya. Oleh itu, larang-larangan itu perlu dipatuhi dan bertakwalahkamu kepada Allah. sesungguhnya Allah penerima taubat, lagi maha mengasihani."
-surah al-Hujarat, ayat 12-

mengumpat sudah seperti suatu budaya. hampir dimana saja ada orang berkumpul, tentu ada lidah yang mengumpat. Tidak kisah jantina. Bila ditegur, kata mereka "macamlah kau tak biasa".

yang salah dirasakan betul kerana yang salah itu sudah dijadikan budaya. yang salah dijadikan betul bila nafsu menguasai jiwa. yang salah dilihat seperti betul kerana hati telah buta.

Nasihat dari Allah bila berhadapan dengan situasi sebegini;

"Dan apabila kamu melihat orang yang memperkatakan ayat-ayat kami dengan cara mencaci ataupun mengejek, tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain. Apabila kamu dilupakan oleh syaitan, lalu kamu duduk bersama mereka, janganlah kamu duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim itu, sesudah kamu teringat larangan itu."
-surah al-An'am, ayat 68-

bukan mudah untuk mengubah tajuk perbualan yang sedang hangat, tapi cubalah beberapa kali. jika tidak berjaya maka jauhkanlah diri darinya dan jika tidak terdaya duduk diam tanpa mengambil bahagian dalam perbualan itu.

Sabda Rasulullah s.a.w
"Barangsiapa diantara kamu melihat kemungkaran hendaklah ia merubah dengan tangannya; bila ia tidak mampu, maka dengan lisannya' dan kalau tidak mampu maka dengan hatinya. yang demikian itulah selemah-lemah iman."
-h.r. Muslim-

Kerana jika kita tidak menegahnya, dan hanya duduk mendengar, khuatir kita dikira bersubahat dan mendapat ganjaran yang sama dengan mereka yang mengumpat.

 Abu Darda' melaporkan, Rasulullah s.a.w bersabda
 "Orang yang mempertahankan maruah saudaranya, Allah jauhkan api neraka daripada mukanya pada Hari Kiamat"
[H.R Tirmizi]

Jauh dari mukanya dimaksudkan jauh dari pandangannya. Tidakkah kita ingin perkara ini berlaku pada kita di hari pembalasan?

Tidakkah kita ingin bergelar muslim yang terbaik oleh Rasulullah?

Musa Asy'ari bertanya
"Wahai Rasulullah, siapakah orang islam yang paling baik?
Rasulullah menjawab
" Orang yang menyebabkan semua orang Islam selamat daripada lidah dan tangannya."
[H.R Bukhari dan Muslim]


Akhir sekali, Jaga Lidah kita! Jaga Hati kita! Jaga Iman kita! jangan sampai kita dilaknat oleh Allah s.w.t!

"Celakalah bagi setiap pengumpat dan pencela"
[Al-humazah, ayat 1]

beramallah kita seperti seorang muslim
sehingga kita dapat melaungkan "Saksikanlah! aku seorang muslim!" tanpa ragu.

wallahualam.

Friday, November 5, 2010

NikmatMu 2

 setelah menjalani kehidupan sebagai seorang pelajar medic tahun 3 selama hampir 3 bulan, aku merasa gembira + sedih + tercarbar + berani.

Aku gembira kerana aku telah berjaya melepasi halangan "Professional Exam 1" dan berjaya meneruskan ke tahun klinikal.

Rasa tercabar sentiasa ada kerana ilmu yang dipelajari sewaktu pra-klinikal sangat memainkan peranan bila berhadapan dengan pesakit dan guru. Tanpa ilmu, hati tidak dapat mengilhamkan otak agar mengarah mulut untuk bertanyakan soalan kepada pesakit. Tanpa ilmu, emosi dan telinga hendaklah bersedia untuk mendengar 'nasihat' dari guru yang sudah bergelar doktor dan professor.

:P

Tapi, aku  merasa kecewa dengan diri kerana perasaan yang paling sedikit aku lalui adalah kesedihan. Setiap hari aku melihat mereka yang sakit, dan kesakitkan mereka itu perlu dirawat agar mereka boleh meneruskan kehidupan dengan lebih sempurna.

Setiap pesakit punya nikmat dunia yang telah ditarik oleh Allah, Tuan empunya alam, pemilik kepada segala yang ada diantara langitNya dan bumi dan yang mengawal setiap yang terjadi diantara siang dan malam.

Ada antara mereka yang ditarik nikmat untuk menggerakkan jari, ada yang tidak dapat membongkokkan badan, tidak dapat membuang air besar atau/dan kecil, tidak dapat berfikir dengan rasional, sukar untuk bernafas, bertutur. Juga ada yang ditarik rohnya dari jasadnya.

kebanyakan pesakit mengatakan mereka redha kepada Allah, mengatakan bahwa Allah sedang mengingatkan mereka, sedang memaafkan dosa mereka walau pada zahirnya mereka tidak menutup aurat, aktif merokok. Tapi aku sangat menghormati mereka kerana mereka punya kesedaran, mata mereka sudah basah mengenangkan kehidupan mereka.

Tapi aku... mengapa aku tidak mengambil pengajaran? mengapa aku tidak dapat melihat nikmat Allah yang masih padaku? Mengapa aku tidak insaf bila melihatn nikmat2 Allah yang sudah tiada pada mereka? mengapa hatiku tidak bergetar bila mendengarkan berita kematian mereka.

jika demikian keadaanku. nescaya aku sudah dicelakakan olehNya. Allah menerangkan didalam Al-Quran, bahawa setiap sesuatu punya pengajaran. Manusia yang punya akal fikiran dan yang berfikir, punya daya melihat dan menyaksikan, punya telinga dan mendengar, punya mulut dan menyampaikan. Hanya manusia seperti inilah yang boleh mengambil pengajaran.

‎"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah, gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka dan kepada Tuhanlah mereka bertawakal. " 
[8:2]

aku ingin merasakan getaran jiwa seperti orang-orang  yang beriman. 
aku tidak ingin hanya bergelar muslim, aku mahu menjadi seorang muslim.
aku ingin sehingga aku berani untuk melaungkan "saksikanlah! aku seorang muslim!"

semoga kamu peroleh pengajaran. belajar dari kesilapan orang lain, jangan tunggu sehingga diri melakukan kesilapan, khuatir ketika menyedarinya sudah terlambat.

Tuesday, August 31, 2010

Aku sahabatmu?

Terkadang terasa sedikit pelik bila membaca hadith dan sejarah hidup Rasulullah. Rasulullah punya banyak sahabat. sehinggakan aku hairan, kenapa tidak perkataan "sahabat" tidak ditukar ganti kepada penggunaan kata lain yang sama maksudnya? seperti kawan karib? rakan?

bahkan tidak pernah aku terbaca mana-mana bahawa Rasulullah mempunyai kawan. Setelah membaca pesanan Al-Qamah kepada anaknya ini, baru aku tahu, mengapa mereka yang disekeliling Rasulullah bukan "kawan" atau "rakan". Beliau sama ada mempunyai musuh atau sahabat.

bersama kita hayati ciri-ciri sahabat sejati.

berkata Al-Qamah kepada anaknya
 "Wahai anakku! Kiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut:
1. Jika engkau membuat bakti kepadanya, dia akan melindungimu
2. Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas baik persahabatanmu itu.
3. Jika engkau memerlukan pertolongan daripadanya berupa wang dan sebagainya, dia akan membantumu.
4. Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik.
5. Jika dia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripadamu, dia akan menghargai dan menyebut kebaikanmu.
6. Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripadamu, dia akan menutupnya.
7. Jika engkau meminta sesuatu bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya.
8. Jika engkau berdiam diri (kerana malu untuk meminta), dia akan menanyakan kesusahanmu.
9. Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahanmu (membuat sesuatu untuk menghilangkan kesusahan itu).
10. Jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkanmu.
11. Jika engkau merancang sesuatu, nescaya dia akan membantumu.
12. Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan.

mungkin sudah wujud orang seperti ini dikalangan rakan kita. tetapi kita mengambil kesempatan terhadap keikhlasan dirinya. Smoga Allah menjauhkan kita dari bersikap sebegini. 

Sunday, August 15, 2010

Kenapa Istighfar?

Kita sering dianjurkan beristighfar dalam menjalani kehidupan seharian kita. Ia dikatakan sunnah Rasulullah kerana Muhammad sendiri selalu beristighfar.

Ibnu Umar menceritakan, kami pernah bersama-sama dengan Rasulullah dan kami mendengar Rasulullah mengulang-ulang membaca sebanyak 100 kali doa yang berbunyi: “Ya Allah ampunilah aku dan terimalah taubat ku, sesungguhnya Engkau Maha Penerima Taubat lagi Maha Pengasih.” (Hadis Riwayat Abu Dawud, Turmidzi dan Ibnu Majah, dishohehkan oleh Imam Turmidzi)

Kita memandang istighfar sebagai suatu amalan yang perlu dilakukan selepas melakukan dosa, sepertinya selepas sedar dari mengumpat.
Ada juga yang menjadikan istighfar sebagai ayat "melatah". seperti dalam keadaan terkejut.
Kasihan sungguh kita, selama ini kebanyakan istighfar yang dilafazkan di luar kesedaran kita!.

Bila ditanya pada diri sendiri, mengapa kita perlu istighfar? maka timbullah jawapan berdasarkan logik akal fikiran. 
"agar tenang", "agar dosa diampunkan", "agar hidup diredhai Allah" dan seterusnya...

Tapi adakah kita berpuas hati dengan jawapan berdasarkan logik akal fikiran kita saja? dalam setiap persoalan, kita hendaklah mendasarkan penilaian kita berdasarkan al-quran dan as-sunnah. Mari kita bertanya kepada dua bahan rujukan kita iaitu sunnah Rasulullah s.a.w dan ayat Al-Quran. 

Istigfar agar memperoleh pengampunan dari Allah s.w.t
 dalam surah an-nisa, ayat 110
"Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan dan menganiaya dirinya, kemudian ia mohon ampun kepada Allah, nescaya ia mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."

Ini adalah asas kepada istighfar, dan setiap muslim sepatutnya memahami fungsi istighfar ini.

Istighfar agar memperoleh perlindungan dari Allah s.w.t
 Dari surah Al-Anfar, ayat 33

"Dan Allah sekali-kali tidak akan mengazab mereka, sedang kamu (muhammad) berada dianatara mereka. Dan tidaklah (pula) Allah akan mengazab mereka, sedang mereka meminda ampun"

dan dari surah Gharfir/Al-Mukmin, ayat 7-10

"(Malaikat-malaikat) yang memikul 'Arasy dan (malaikat) yang berada di sekelilingnya bertasbih dengan memuji Tuhanny dan mereka beriman kepada-Nya serta memohonkan ampunan untuk orang-orang yang beriman (seraya berdoa):
"Ya Tuhan kami, rahmat dan ilmu yang ada pada-Mu meliputi segala sesuatu, maka berilah ampunan kepada orang-orang yang bertaubat dan mengikuti jalan-Mu dan periharalah mereka dari azab neraka. 

"Ya Tuhan kami, masukkanlah mereka ke dalam syurga "Adn yang telah Engkau janjikan kepada mereka, dan orang yang soleh diantara nenek moyang mereka, istri-istri(dan suami), dan keturunan mereka. Sungguh, Engkaulah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana"

"Dan peliharalah mereka dari kejahatan. Dan orang yang Engkau pelihara dari kejahatan pada hari itu, maka sungguh, Engkau telah menganugerahkan rahmat kepadanya dan demikian itulah kemenangan yang agung."
Lihatlah, bagaimana mulianya manusia yang memohon ampun kepada Allah. Sehingga para malaikat mendoakan mereka sedemikian. dan doa para malaikat bukan hanya untuk individu yang memohon ampunan Allah, bahkan untuk nenek moyang (ahli keluarganya yang telah meniggal), pasangannya, dan zuriat mereka (anak, cucu, cicit dan seterusnya).


Istighfar agar mendapat kesenangan dan terlepas dari keadaan risau dan resah

Diriwayatkan dari Abdullah bin Abbas radhiyallahu ‘anhuma, bahwa Rasulullah telah bersabda: “Barangsiapa melazimkan istighfar, maka Allah akan jadikan jalan keluar dalam setiap kesulitan hidup, dan jadikan setiap kegundah-gulanaannya menjadi kebahagiaan dan Allah akan memberinya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka.”
(HR. Abu Dawud dan Ibnu Majah)

Mari dengarkan sebuah kisah dari sebuah kitab Tafsir Al-Maraghi hasil tulisan seorang ulama bernama Ahmad Musthafa al-Maraghi. kisah tentang seorang tabi'in (generasi ulama selepas sahabat rasulullah) yang bernama Hasan Al-Basri. Hasan sering didatangi mereka yang bertanya hukum agama dan meminta nasihat atas segala persoalan. 

Suatu hari Hasan didatangi seorang lelaki yang mengadu tentang kelaparan yang dihadapinya. Hasan dengan penuh perhatian menjawab "Istighfarlah kepada Allah swt"
Datang lagi seorang lelaki meminta Hasan untuk mendoakannya agar dia mempunyai zuriat. Hasan menjawab "beristighfarlah kepada Allah swt"
Kemudian datang lagi seorang lelaki yang kebunnya mengalami kekeringan. Hasan terus menjawab "beristighfarlah kepada Allah swt"

Kelakuan Hasan tadi amat menghairankan penduduk sekitarnya. sehingga seorang dari penduduk itu bertanya kepada Hasan "Beberapa orang lelaki mendatangimu mengeluhkan berbagai persoalan, tetapi engkau hanya menyuruh mereka semua untuk membaca istighfar!”
Maka Hasan menjawab "Aku sama sekali tidak mengatakan apapun dari diriku sendiri. Sesungguhnya Allah SWT berfirman (seperti itu)”.
Firman Allah yang dimaksudkan oleh Hasan adalah surah an-nuh ayat 10-12 yang bermaksud

"Maka aku (nabi Nuh) berkata (kepada kaumnya) "Mohonlah ampunan kepada Tuhanmu, sungguh, Dia Maha Pengampun, Nescaya Dia akan menurunkan hujan yang lebat dari langit kepadamu, Dan Dia memperbanyak harta dan anak-anakmu, dan mengadakan kebun-kebun untukmu dan mengadakan sungai-sungai untukmu"


contohilah Hasan al-Basri kerana sikapnya dan pemikirannya yang sentiasa berdasarkan al-quran dan as-sunnah.


Istighfar sebagai usaha memakbulkan doa

Firman Allah dalam surah Al-Hud, ayat ke-3
"Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhanmu dan bertaubat kepada-Nya. Nescaya Dia akan memberi kenikmatan yang baik kepadamu sampai kepada waktu yang telah ditentukan dan Dia akan memberikan kepada tiap-tiap orang yang mempunyai keutamaan (balasan ) keutamannya. jika kamu berpaling, Maka Sesungguhnya aku(Muhammad) takut kamu akan ditimpa seksa hari kiamat"


kali ini, kita bacakan kisah tentang seorang alim yang bernama Ahmad bin Muhammad bin Hanbal Abu `Abd Allah al-Shayban yang cukup terkenal dengan nama mazhabnya, iaitu mazhab Hanbali.

suatu ketika itu, Imam Ahmad singgah di sebuah tempat yang kebanyakan mereka tidak mengenalinya (kurangnya teknologi ketika itu). keadaan sudah larut malam dan Imam Ahmad merasa letih dan ingin tidur didalam sebuah masjid. Tapi niatnya tidak kesampaian kerana penjaga masjid tersebut melarang Imam Ahmad untuk tidur di masjid. Imam Ahmad kemudian bertanya kepada penjaga tersebut sama ada dia dibenarkan untuk tidur di luar masjid, penjaga itu melarangnya. Imam Ahmad bertanya lagi jika dia tidak tidur, tetapi hanya berdiri di perkarangan masjid, penjaga itu melarangnya lagi.
Penjaga itu kemudian menolak Imam Ahmad dari masjid tersebut.
Seorang pembuat roti ternampak kelakuan antara Imam Ahmad dan penjaga masjid tersebut. Setelah jelas akan situasi Imam Ahmad, maka si pembuat roti mempelawa Imam Ahmad untuk bermalam sahaja dirumahnya. Imam Ahmad menerima pelawaan tersebut.
Ketika Imam Ahmad hendak tidur, dia terdengar zikir istighfar dari si pembuat roti yang sedang sibuk membuat rotinya. Imam Ahmad mendengarkan zikir itu sehingga boleh dikatakan si pembuat roti itu berzikir istighfar sepanjang malam.

Paginya Imam Ahmad bertanya kepada si pembuat roti mengapa dia beristighfar. maka si pembuat roti menjawab, "Setakat ini segala doa saya dikabulkan Allah melainkan satu perkara sahaja belum lagi".

Imam Ahmad bertanya "Apakah doa kamu yang belum di perkenankan oleh Allah itu?.

Jawab lelaki itu " Saya berdoa agar dipertemukan dengan Imam Ahmad bin Hanbal" 
Maka kata Imam Ahmad : Saya lah orangnya, Akulah Imam Ahmad Bin Hanbal, demi Allah, sesungguhnya aku telah diseret untuk menuju kepadamu."
 (sumber: majalah Qiblati, indonesia. edisi ke 8)

Besarnya kuasa Allah! Kerana sayangnya Allah kepada si pembuat roti, dibawanya Imam Ahmad kepadanya. 

dalam kisah ini kita juga patut mencontohi akhlak Imam Ahmad. walaupun beliau mengetahui nama beliau amat terkenal dan dihormati, tetapi beliau tidak membanggakan namanya agar memperoleh pertolongan dari manusia. beliau tidak mengungkit kebaikan yang telah beliau lakukan. kerana jika beliau mengungkit kebaikan yang telah beliau lakukan dengan memberitahu namanya dengan mengharapkan balasan, maka khuatir Allah akan membalas dengan memadam segala amalan yang dibanggakan tadi.

"Jauhilah olehmu akan mengungkit-ungkit pemberian karena yang demikian itu dapat menggagalkan kesyukuran dan menghilangkan pahala." (HR.Muslim)

Inilah antara kebaikan yang kita perolehi jika kita selau beristighfar kepada Allah. Sekarang kita boleh lebih menghayati lafaz astaghfirullah hal azim dan yang seteru dengannya.

Bagaimana dan apakah lafaz zikir yang digunakan untuk beristighfar? ucapkanlah apa yang kamu inginkan selagi ianya membawa maksud mengharap pengampunan dari Allah swt, kerana istighfar itu sendiri membawa maksud memohon ampunan dari Allah.

Sesungguhnya Allah swt dan Rasulnya juga lebih mengetahui.

Beramallah kita seperti seorang muslim
sehingga kita berupaya melaungkan "Saksikanlah! aku seorang muslim!" tanpa ragu.
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

cetusan idea dari majlis ilmu bersama ustazah Salawahyu (maaf jika salah ejaannya)








Wednesday, July 28, 2010

untukku dan untukmu


Apakah hatimu seperti batu?
tidak sayu saudaramu dipalu
tidak pilu hilang peganganmu
tidak malu persendakan agamamu
biarkan nafsu menjaga dirimu

Apakah kamu sudah lupa?
Pergerakanmu diperhatikan oleh Maha Esa
'Illiyin dan Sijjin saksi rahsia di dada
terbongkar semua di hari Bencana
saat matahari seakan sejengkal dari kepala


Rasulullah kekasih-Nya jadikan teladan
akhlaknya seperti Al-Quran berjalan
kehadirannya membawa angin ketenangan
sentiasa berjalan memberi pesanan
ikutlah arahanNya laranganNya tingalkan

melihat mendengar nikmatNya padamu
langit dan bumi disediakan untukmu
gunakan akal dan mata hatimu
syukurlah dan sujud pada Tuhanmu
Tunaikan perintahnya sehingga diseru
Syurga dan neraka sudah dikhabarkan
sebagai hadiah juga amaran
setiap kamu bergelar insan
tiada terlepas dari perhitungan
kembalilah kepada sunnah Rasul dan hukum Al-Quran

Marilah wahai saudara-saudaraku
bangunlah dari tempat beradu
bertaubatlah dari kesalahan lalu
janganlah lupa janganlah ragu
aku dan kamu milik Yang Satu

Friday, June 25, 2010

Diet

telah tiba kepada kami student 08/09 CUCMS suatu musim yang selalu dirindui oleh manusia ketika mereka bertungkus lumus dalam meneruskan kehidupan. musim yang jika berpanjangan akan menyebabkan manusia tadi rindu pula kepada keadaan 'bertungkus lumus'. musim yang dinamakan 'HOLIDAE~' :).

musim ini didefinisikan sebagai musim 'makan, & tidur' dan sedikit sekali diantara mereka yang melakukan perkara-perkara yang bermanfaat bagi diri mereka.

seorang sahabat berkata 'hm... itulah yg aku risaukan, ade tips tak? Bila dia dinasihatkan untuk menjaga pengambilan makan manis.

mendengarkan perbualan mereka, aku berfikir, mengapa perlu kita mengawal pemakanan kita?
ramai yang berpendapat
'untuk menjaga kesihatan'
'menjaga imej, nnt saham jatuh'
'takut gemuk balik'

tidak perlu berfikir panjang ketika menjari jawapan kepada sesuatu persoalan.kerana semua jawapan sudah tersedia didalam Al-quran, hadith dan sunnah ArRasul.
Firman Allah: al-A'raaf, ayat 31.
"Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap (memasuki) masjid, makan dan minumlah dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan"

segala yang ada pada kita adalah hak Allah. jagalah hakNya dengan adil. tujuan kita dibumi adalah untuk memakmurkan hak-hak Allah, bukan menzalimi dan merosakkannya.

surah al-Hud, ayat 61
"Dia lah yang menjadikan kam udari bahan-bahan bumi, serta mengkehendaki kamu memakmurkannya"

semoga kita beramal seperti seorang muslim
sehingga kita layak melaungkan 'saksikanlah, aku seorang muslim' tanpa keraguan dihati.

p/s: oh, tak hairanlah mereka yang beriman jarang terkena penyakit... mereka selalu menjaga pemakanan mereka...

Sunday, June 20, 2010

Kemanisan Professional Exam


Sejurus selepas Proffessor Hatta Shaharom, Presiden CUCMS selesai mengumumkan nama-nama mereka yang memperoleh distinction. Suasana beransur sepi. Pelajar perubatan tahun dua yang menghadiri majlis pengumuman keputusan Professional Examination 1 menunjukkan pelbagai karenah. Ada yang bermain dengan jari- jemari mereka seperti pesakit Parkinson. Ada yang mengangguk-angguk kepala, ada yang menutup mulutnya dengan kedua belah tangan, ada yang merapatkan diri dengan rakan disebelah. Suasana senyap itu dipenuhi dengan aura pengharapan. Harapan mereka semua sama. Iaitu mendengarkan nama mereka dizahirkan oleh pergerakan bibir dan hembusan angin melalui kotak suara Professor Hatta.

Seorang demi seorang bertempik keriangan, turut diiringi dengan tepukan dan takbir dari rakan. Mulutku terkumat-kamit berzikir dan berdoa agar apa yang aku rasa terbaik buat diriku adalah yang terbaik untukku. Aku teringat akan janjiku pada Allah ketika solat zohor tadi.

“ Ya Allah, yang maha Penyayang, yang maha Pengasih, yang maha Pemurah, yang maha Pembuka. Bukakanlah pintu hati kami agar kami redha dengan segala keputusanMu, berilah kami kemenangan jika ianya adalah yang terbaik buat kami. ”

Hampir semua nama ahli kumpulan diskusiku sudah mengukir senyuman dan mengalirkan air mata mereka. Aku menahan sebak atas kejayaan mereka, aku gembira melihat mereka gembira.

“NurFatin Atikah, Nur Nadia, Nur Sakinah, Nur Aqilah, Nur…” Professor Hatta terus membaca nama-nama mereka yang lulus.

Aku menjadi semakin gelisah. Hatiku berbisik.

“Ah! Kenapa ramai nama bermula dari Nur??, bilakah giliran aku? “

Aku tersedar, terasa hampir semua nama rakan sekelasku telah disebut namanya, kelihatan Professor Hatta sedang memegang bahagian tengah kertas keputusan sambil matanya tajam melihat bahagian bawah kertas bersaiz A4.

Aku membongkokkan badanku, menggenggam erat penumbuk kananku, memeluk “sling bag”ku dengan erat.

Aku merasa keadaan semakin sunyi.

Terdengan suara yang mendatar tadi menyebut

“Noor Shaafi Haziq Bin Musa”

Mata ku terbeliak, aku mengambil nafas pendek, aku menggengam kuat kedua tanganku dan aku hayunkan ke bawah dengan sepenuh tenaga serentak dengan jeritan kecil. “Allahhuakbar!, Alhamdulillah…”

Pandanganku terus kabur, aku membongkokkan lagi badanku, menahan nafasku seketika. Aku merasakan bahuku ditepuk berkali-kali.

Aku terimbas kembali perjalananku sepanjang bergelar pelajar perubatan (MBBS). Diari mingguanku selalu diisi dengan perkataan “gagal”, “terus mencuba”, “insyaAllah”. Aku begitu hampir untuk mengulangi tahun dua pengajian perubatan kerana gagal mendapatkan GPA 2.0 untuk dua semester berturut-turut. Dan masalah kewangan yang aku hadapi. Sehingga suatu ketika aku ingin berputus asa dan meminta ayahku untuk menukar pengajian.

Melihatkan keadaanku, sahabat diskusi yang duduk dibelakangku menghulurkan tisu dan mengurut bahuku sekejap. Aku merasa lengan kananku digenggam erat dan terasa sentuhan lembut pada lutut kiriku. Pipiku terus basah, dan hidungku mula tersumbat. Aku cuba mengawal diriku dengan beristighfar agar aku tidak teresak-esak, agar aku tidak berbangga-bangga.

Aku kembali menegakkan badanku, aku melihat raut wajah rakan-rakan dan sahabatku. Semua melahirkan senyuman kepuasan. Aku senyum kepuasan.

Selesai majlis, kami berpelukan. Hatiku bergetar lagi bila berpelukan dengan sahabat yang kisah hidupnya sebagai pelajar perubatan hampir sama dengan diriku. Aku mendakapnya dengan erat dan lama. Dan aku berbisik dengan nada suara yang lemah.

“kita berjaya, kita berjaya, kita berjaya”

Aku tahu dia juga sedang menahan dirinya dari teresak-esak.

Selesai memeluk setiap rakan dan sahabatku. Aku menguatkan langkahku untuk berjumpa dengan si Dia yang aku cintai. Yang sentiasa membantuku dan memberiku harapan. Yang sentiasa disampingku diwaktu susah dan senang. Yang memberiku rezki dari arah yang tidak disangka-sangka. Dan pertemuan kami membawaku kepada semangat yang baru. Kontrak perjanjian yang baru...


“…barang siapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan jalan ke luar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-taip sesuatu”

[At-Thalaaq, ayat 2-3]

Semoga ini menjadi pengajaran bagi diri ini dan kamu.

Semoga kita sentiasa dalam golongan yang diredhai olehNya.

Kepada yang berjaya jangan terleka, dan teruskan berdoa kepada mereka yang ditangguh kemenangannya.

Tuesday, May 18, 2010

Melupakan dan Dilupakan

manusia sering melakukan kesalahan yang sama. ada yang berusaha untuk membaikinya ada yang tidak.

mengapa tidak? adakah kerana mereka "enjoy" melakukan kesalahan berulang kali?
jika mengikut logik fikiran akal, setiap manusia mahukan yang terbaik.

Hairan bukan?

mereka bukan tidak ingin maju, tetapi mereka tidak sedar akan kekurangan diri yang ada pada mereka. tidak sedar bahwa perbuatan mereka sedang memudaratkan dan menzalimi diri sendiri.

inilah balasan kepada mereka yang lupa akan Allah.

Firman Allah dari surah Taha, ayat 126 -127

"Demikianlah keadaannya! Telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu, lalu engkau melupakan serta meninggalkannya dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan. Dan demikianlah Kami membalas orang yang melampaui batas dan tidak beriman kepada ayat-ayat keterangan Tuhannya dan demi sesungguhnya azab akhirat itu lebih berat dan lebih kekal."

bila Allah melupakan kita, meninggalkan kita, apa akan jadi pada kita?

mata kita, hati kita, sudah tidak tidak dapat membezakan yang baik dengan yang buruk. kita hanya seronok melakukan apa yang suka kita lakukan.
kita sudah hilang kebolehan untuk melihat, memikirkan, memahami dan mengambil pengajaran dari tanda-tanda kekuasaan Allah.

kita sudah "dihijab" untuk melihat pintu-pintu kebaikan.

mereka disekeliling kita juga seperti tidak sedar akan keadaan kita dan sentiasa ada yang menghalang mereka untuk mengajak kita kearah kebaikan. bahkan jika telah sampai pesanan kebaikan itu kepada kita, kita sendiri akan mengendahkannya kerana ke"jahil"an pada diri kita sendiri

"Aku akan memalingkan orang-orang yang menyombongkan dirinya di muka bumi tanpa alasan yang benar dari tanda-tanda kekuasaanKu. Mereka jika melihat tiap-tiap ayat(Ku), mereka tidak beriman kepadanya. Dan jika mereka melihat jalan yang membawa kepada petunjuk, mereka tidak mahu menempuhnya, tetapi jika merek melihat jalan kesesatan, mereka terus menempuhnya. Yang demikian itu adalah kerana mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka selalu lalai daripadaNya"
[Al-A'raaf : 146 ]

cuba fikir kembali, tentu ada orang seperti diatas yang dikenalimu. terkadang sedih melihat mereka dengan ideologi barat dan kafir mereka.

begitulah hukum Allah, ringkas.
Mereka telah lupa kepada Allah, maka Allah melupakan mereka”.
(At-Taubah : 67)

Hm....Jadi bagaimana caranya untuk sentiasa mengingati Allah?
Allah telah pun memberi petunjuk(hint) didalam kitabNya.

"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal.
(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata) : Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka
[Ali Imran: 190-191]"

Jangan hanya menyebut takbir ketika melatah, berTasbihlah lalu berTahmidlah, lalu berTahlillah, terus berTakbir meMaha besarkan Asma-Nya.

Semoga kita beramal seperti seorang muslim
sehingga kita berupaya melaungkan "saksikanlah! aku seorang muslim!" tanpa keraguan.
Wallahu'alam. Bersama kita Amalkan~

Friday, April 2, 2010

Gembira sungguh mereka~

entah mengapa, hati aku merasa tenang setiap kali teringatkan mereka. aku jadi rindu untuk dapat mendampingi mereka.

setiap kali melihat mereka, wujud pelbagai perasaan dalam hatiku. Tenang, iri hati, cinta....
terasa sudah lama kami berkenalan walau kami hanya bertentang mata, mengangguk kepala tanda menyapa dan diakhiri dengan senyuman..

aku suka melihat muka mereka yang bersih, berpakaian yang sederhana, dan sentiasa kelihatan sopan walaupun ketika berseorangan.

aku melihat sahabat-sahabat mereka sangat senang dengan kehadiran mereka. disetiap pertemuan mereka dimulakan dan diakhiri dengan senyuman.

dan aku sangat menghormati mereka, kerana kekuatan yang ada pada jiwa mereka. biar datang ujian dunia, biar datang nikmat dunia, dia tetap kelihatan seperti biasa..

dan kerana inilah aku ingin menjadi seperti mereka.....
mereka yang nabi Muhammad s.a.w maksudkan dalam hadithnya


“Sungguh baik nasib orang yang beriman kerana dalam semua keadaan mereka mendapat kebaikan. Dan tidak ada habuan baik seperti ini kecuali bagi mereka yang beriman. Apabila mendapat kesenangan maka ia akan bersyukur, maka syukur itu baik baginya. Dan apabila ditimpa musibah maka ia bersabar, maka sabar itu baik baginya.” (Hadis riwayat Muslim)


bagi mereka, yang baik itu datangnya daripada Allah, dan segala yang datangnya dari Allah adalah baik.

sesungguhnya, Allah dan rasulNya juga lebih mengetahui...

Saturday, January 23, 2010

Jaga Lidahmu, hatimu, imanmu

Assalamualaikum...

Kebelakangan ini sedih melihat keadaan manusia sekeliling ana. Telinga ini terlalu banyak mendengar tentang kelemahan insan lain melalui mulut "kenalannya" sendiri. Malah ana sendiri turut terjangkit penyakit ini.

antara penyebab utama penyakit ini berleluasa adalah kerana wujudnya perasaan tidak puas hati terhadap seseorang, mengungkit kisah lama dan bila berkumpul beramai-ramai.

Sungguh mudah bagi seseorang untuk menceritakan perangai buruk tentang orang lain dan sukar bagi mereka berbuat sebaliknya.

mata yang selalu melihat keburukan, mulut yang selalu menzahirkan keburukan, badan yang selalu mengamalkan keburukan datangnya dari hati yang tidak dijaga. kerana segala amalan diilhamkan oleh hati, dalam sedar atau tidak.

Terkadang ana berasa risau bila melihat rakan-rakan ana berkumpul disatu tempat sama ada untuk makan atau beristirahat. Kerana tema tajuk utama perbualan biasanya adalah tentang kelemahan manusia selain mereka. Bosan menceritakan kelemahan 'kenalan' mereka yang memang sudah nyata, tema perbualan berubah kepada sangkaan sifat buruk kenalan tadi.

"aku rase die ni ... ... ..., sebab tu die ... ...".

"ala, die tu .. .. .., mcm ko tak biase pulak dengan perangai die"

Firman Allah tentang perkara ini.
"Wahai orang-orang beriman!. Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan(supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mengintip ataupun mencari kesalahan dan kaiban orang, dan janganlah setengah kamu mengumpat setengah yang lain. Adakah seorang daripada kalangan kamu suka memakan daging saudaranya yang mati? Apabila demikian mengumpat, sudah tentu kamu jijik padanya. Oleh itu, larang-larangan itu perlu dipatuhi dan bertakwalahkamu kepada Allah. sesungguhnya Allah penerima taubat, lagi maha mengasihani."
-surah al-Hujarat, ayat 12-

mengumpat sudah seperti suatu budaya. hampir dimana saja ada orang berkumpul, tentu ada lidah yang mengumpat.

yang salah dirasakan betul kerana yang salah itu sudah dijadikan budaya. yang salah dijadikan betul bila nafsu menguasai jiwa. yang salah dilihat seperti betul kerana hati telah buta.

Nasihat dari Allah bila berhadapan dengan situasi sebegini;

"Dan apabila kamu melihat orang yang memperkatakan ayat-ayat kami dengan cara mencaci ataupun mengejek, tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain. Apabila kamu dilupakan oleh syaitan, lalu kamu duduk bersama mereka, janganlah kamu duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim itu, sesudah kamu teringat larangan itu."
-surah al-An'am, ayat 68-

bukan mudah untuk mengubah tajuk perbualan yang sedang hangat, tapi cubalah beberapa kali. jika tidak berjaya maka jauhkanlah diri darinya dan jika tidak terdaya duduk diam tanpa mengambil bahagian dalam perbualan itu.

Sabda Rasulullah s.a.w
"Barangsiapa diantara kamu melihat kemungkaran hendaklah ia merubah dengan tangannya; bila ia tidak mampu, maka dengan lisannya' dan kalau tidak mampu maka dengan hatinya. yang demikian itulah selemah-lemah iman."
-h.r. Muslim-

Jaga Lidahmu! Jaga Hatimu! Jaga Imanmu! jangan sampai kamu dilaknat oleh Allah s.w.t!

"celakalah bagi setiap pengumpat dan pencela"
-surah al-Humazah, ayat 1-


wallahualam...

Sunday, March 1, 2009

Pelajaran dan Dakwah

Assalamualaikum...

belajar vs dakwah.
statement di atas selalu menjadi topik atau persoalan yang hangat diperbual dan dibincangkan jika diutarakan pada ummat islam terutamanya mereka yang bergelar pelajar.

Ada yang mengatakan sama ada kita sebagai pelajar atau tidak, dakwah adalah lebih diutamakan. Tidak kurang juga ada yang mengatakan belajar lebih penting. Segelintir pelajar juga mengatakan kedua-dua nya adalah sama penting.

Di sini, bukan ana nak mengeluarkan fatwa baru, kerna sedar ana terlalu jauh dari layak untuk mengeluarkannya. Tapi berdasarkan pengetahuan ana dan apa yang ana baca. Apa yang ana dapat simpulkan adalah kedua-dua stadi dan dakwah adalah penting bagi seorang muslim dan keutamaan bagi dua perkara ini adalah mengikut masa dan keadaan seseorang itu. Dan kebanyakan masanya, kita yang bergelar pelajar perlu mengutamakan pelajaran berbanding dengan dakwah.

Islam itu syumul(menyeluruh), ianya tidak hanya ada semasa dakwah atau hanya hadir semasa stadi. Ianya wujud dalam setiap keadaan yang kita hadapi seharian.

Islam juga adalah agama yang memberi pilihan kepada ummatnya. Jika ianya merasakan sesuatu perkara yang dilakukannya menyusahkan atau membebankannya, maka mereka boleh memilih jalan yang lebih mudah untuk melaksanakannya tetapi atas tujuan yang sama, yakni kerna Allah. Firman Allah

" Tidak ada paksaan untuk agama (Islam), sesungguhnya telaj jelas jalan yang benar daripada jalan yang salah. Kerana itu baranggsiapa yang engkar kepada Thaghut dan beriman kepada Allah, maka ia telah memegang tali yang amat kuat yang tidak akan putus. Dari Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."



Pendapat ana turut berdasarkan hasil tulisan imam Hassan Al-Banna.

"Saya pernah melihat para remaja yang tekun belajar pada kuliah
kedokteran di perguruan tinggi, fakultas teknik, fakultas
pertanian, fakultas sastra, atau fakultas-fakultas ilmu-ilmu
umum yang lainnya. Mereka berjaya dan memiliki prestasi yang
gemilang, akan tetapi tidak lama kemudian mereka meninggalkan
bangku fakultas-fakultas tersebut, dan merasa tidak sayang
untuk meninggalkannya; dengan alasan untuk ikut serta
melakukan da'wah dan tabligh; padahal spesialisasi yang mereka
jalani termasuk ilmu-ilmu fardhu kifayah, di mana umat akan
menderita bila tidak ada seorangpun di antara mereka yang
memiliki keahlian pada bidang-bidang tersebut. Di samping itu,
mereka juga dapat menjadikan amal perbuatan dalam bidang
kehidupannya sebagai ibadah dan perjuangan apabila mereka
melakukannya sebaik mungkin dan disertai dengan niat yang
baik, serta mengikuti batas-batas yang telah ditetapkan oleh
Allah SWT."
[buku Fiqh keutamaan, tajuk "Kacaunya Timbangan Prioritas pada Umat"]



"“Setiap orang Islam yang belum mencapai tahap pakar dalam meneliti dalil-dalil hukum furuk, hendaklah dia mengikut mana-mana imam dari imam-imam dalam agama. Dikala dia mengikut seseorang imam, elok seboleh mungkin dia mengetahui dalil-dalil (yang digunakan oleh imam ikutannya). (Dalam pada itu) dia boleh menerima setiap bimbingan (imam lain) yang disertai dengan dalil sekiranya jelas padanya kebaikan dan kemampuan imam yang mengemukakan bimbingan tersebut. Sekiranya dia dari kalangan ahli (pengkhususan) ilmu (agama), hendaklah dia menyempurnakan mana-mana kekurangan ilmu dalam dirinya sehinggalah dia mencapai tahap pakar
[Asas ke-7 daripada usul 20]



keutamaan tanggungjawab kita sebagai pendakwah dan pelajar juga ada diterangkan dalam buku bertajuk "Jalan Dakwah" hasil tulisan Al-ustadz Mustafa Masyur dalam bab ke 17 dan 18 yang bertajuk "Perbaiki dirimu dan seluruh orang lain"

Akhir kata, keutamaan kita sebagai pelajar atau pendakwah bergantung kepada keadaan dan waktu. Tapi beringatlah, ketika kita sedang menjalankan tugas kita sebagai seorang pelajar, jangan sesekali kita menghentikan tanggungjawab kita dalam islah dan dakwah.

"(77) Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan."
[al-Qasas, 77]


Allahualam...