Pembuka kata



Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad s.a.w, kepada para Rasul, Para Nabi, Para Sahabat, dan kepada mereka yang berjuang di jalanNya. Semoga kita termasuk dalam golongan yang diredhai-Nya.


Sunday, June 20, 2010

Kemanisan Professional Exam


Sejurus selepas Proffessor Hatta Shaharom, Presiden CUCMS selesai mengumumkan nama-nama mereka yang memperoleh distinction. Suasana beransur sepi. Pelajar perubatan tahun dua yang menghadiri majlis pengumuman keputusan Professional Examination 1 menunjukkan pelbagai karenah. Ada yang bermain dengan jari- jemari mereka seperti pesakit Parkinson. Ada yang mengangguk-angguk kepala, ada yang menutup mulutnya dengan kedua belah tangan, ada yang merapatkan diri dengan rakan disebelah. Suasana senyap itu dipenuhi dengan aura pengharapan. Harapan mereka semua sama. Iaitu mendengarkan nama mereka dizahirkan oleh pergerakan bibir dan hembusan angin melalui kotak suara Professor Hatta.

Seorang demi seorang bertempik keriangan, turut diiringi dengan tepukan dan takbir dari rakan. Mulutku terkumat-kamit berzikir dan berdoa agar apa yang aku rasa terbaik buat diriku adalah yang terbaik untukku. Aku teringat akan janjiku pada Allah ketika solat zohor tadi.

“ Ya Allah, yang maha Penyayang, yang maha Pengasih, yang maha Pemurah, yang maha Pembuka. Bukakanlah pintu hati kami agar kami redha dengan segala keputusanMu, berilah kami kemenangan jika ianya adalah yang terbaik buat kami. ”

Hampir semua nama ahli kumpulan diskusiku sudah mengukir senyuman dan mengalirkan air mata mereka. Aku menahan sebak atas kejayaan mereka, aku gembira melihat mereka gembira.

“NurFatin Atikah, Nur Nadia, Nur Sakinah, Nur Aqilah, Nur…” Professor Hatta terus membaca nama-nama mereka yang lulus.

Aku menjadi semakin gelisah. Hatiku berbisik.

“Ah! Kenapa ramai nama bermula dari Nur??, bilakah giliran aku? “

Aku tersedar, terasa hampir semua nama rakan sekelasku telah disebut namanya, kelihatan Professor Hatta sedang memegang bahagian tengah kertas keputusan sambil matanya tajam melihat bahagian bawah kertas bersaiz A4.

Aku membongkokkan badanku, menggenggam erat penumbuk kananku, memeluk “sling bag”ku dengan erat.

Aku merasa keadaan semakin sunyi.

Terdengan suara yang mendatar tadi menyebut

“Noor Shaafi Haziq Bin Musa”

Mata ku terbeliak, aku mengambil nafas pendek, aku menggengam kuat kedua tanganku dan aku hayunkan ke bawah dengan sepenuh tenaga serentak dengan jeritan kecil. “Allahhuakbar!, Alhamdulillah…”

Pandanganku terus kabur, aku membongkokkan lagi badanku, menahan nafasku seketika. Aku merasakan bahuku ditepuk berkali-kali.

Aku terimbas kembali perjalananku sepanjang bergelar pelajar perubatan (MBBS). Diari mingguanku selalu diisi dengan perkataan “gagal”, “terus mencuba”, “insyaAllah”. Aku begitu hampir untuk mengulangi tahun dua pengajian perubatan kerana gagal mendapatkan GPA 2.0 untuk dua semester berturut-turut. Dan masalah kewangan yang aku hadapi. Sehingga suatu ketika aku ingin berputus asa dan meminta ayahku untuk menukar pengajian.

Melihatkan keadaanku, sahabat diskusi yang duduk dibelakangku menghulurkan tisu dan mengurut bahuku sekejap. Aku merasa lengan kananku digenggam erat dan terasa sentuhan lembut pada lutut kiriku. Pipiku terus basah, dan hidungku mula tersumbat. Aku cuba mengawal diriku dengan beristighfar agar aku tidak teresak-esak, agar aku tidak berbangga-bangga.

Aku kembali menegakkan badanku, aku melihat raut wajah rakan-rakan dan sahabatku. Semua melahirkan senyuman kepuasan. Aku senyum kepuasan.

Selesai majlis, kami berpelukan. Hatiku bergetar lagi bila berpelukan dengan sahabat yang kisah hidupnya sebagai pelajar perubatan hampir sama dengan diriku. Aku mendakapnya dengan erat dan lama. Dan aku berbisik dengan nada suara yang lemah.

“kita berjaya, kita berjaya, kita berjaya”

Aku tahu dia juga sedang menahan dirinya dari teresak-esak.

Selesai memeluk setiap rakan dan sahabatku. Aku menguatkan langkahku untuk berjumpa dengan si Dia yang aku cintai. Yang sentiasa membantuku dan memberiku harapan. Yang sentiasa disampingku diwaktu susah dan senang. Yang memberiku rezki dari arah yang tidak disangka-sangka. Dan pertemuan kami membawaku kepada semangat yang baru. Kontrak perjanjian yang baru...


“…barang siapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan jalan ke luar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-taip sesuatu”

[At-Thalaaq, ayat 2-3]

Semoga ini menjadi pengajaran bagi diri ini dan kamu.

Semoga kita sentiasa dalam golongan yang diredhai olehNya.

Kepada yang berjaya jangan terleka, dan teruskan berdoa kepada mereka yang ditangguh kemenangannya.

4 comments:

Amal. said...

Congratulations, Shaafi :) Berdebar I bace your entry.

Noor Shaafi Haziq b Musa said...

:), I pun berdebar mase menaip. ;P

Noru Amran said...

salam. bloghopping.

congrats.

all the best in your future undertakings.
tough ye jadi medical student ni. =)

Noor Shaafi Haziq b Musa said...

Wasalam bloghoppers

Trimas, InsyaAllah mudah. (positive thinking).

all the best to you to.