Pembuka kata



Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad s.a.w, kepada para Rasul, Para Nabi, Para Sahabat, dan kepada mereka yang berjuang di jalanNya. Semoga kita termasuk dalam golongan yang diredhai-Nya.


Wednesday, November 17, 2010

Tak baik mengumpat

Penyakit hati yang punya sifat infeksi yang tinggi. Mari kita bacakan definisi mengumpat oleh Rasulullah

Abu Hurairah melaporkan,
Rasulullah pernah berkata,
   "Saudara-saudara tahu apa itu mengumpat?
Sahabat-sahabat beliau menjawab,
   'Allah dan utusannya yang lebih tahu.'
Rasulullah berkata,
   "mengumpat itu ialah saudara menyebut hal rakan saudara yang dia tidak suka.'
Ada orang bertanya,
 'Apa pandangan tuan apabila saudara saya itu memang sifatnya speperti yang saya sebutkan?'
Rasulullah menjawab,
   "apabila dia memang begitu, maknanya saudara mengumpat kepadanya. Apabila dia tidak bersifat seperti apa yang saudara katakan, bererti saudara memfitnahnya."
[H.R Muslim]


Sungguh mudah bagi kita untuk menceritakan perangai buruk tentang orang lain dan sukar untuk berbuat sebaliknya. Mudah itu dalam kedua-dua keadaan, iaitu dalam sengaja dan tidak.

Terkadang  risau bila melihat rakan-rakan berkumpul disatu tempat sama ada untuk makan atau beristirahat. Kerana tema tajuk utama perbualan biasanya adalah tentang kelemahan manusia selain mereka. Bosan menceritakan kelemahan 'kenalan' mereka yang memang sudah nyata, tema perbualan berubah kepada sangkaan sifat buruk kenalan tadi.

"aku rase die ni ... ... ..., sebab tu die ... ...".

"ala, die tu .. .. .., mcm ko tak biase pulak dengan perangai die"

Firman Allah tentang perkara ini.
"Wahai orang-orang beriman!. Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan(supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mengintip ataupun mencari kesalahan dan kaiban orang, dan janganlah setengah kamu mengumpat setengah yang lain. Adakah seorang daripada kalangan kamu suka memakan daging saudaranya yang mati? Apabila demikian mengumpat, sudah tentu kamu jijik padanya. Oleh itu, larang-larangan itu perlu dipatuhi dan bertakwalahkamu kepada Allah. sesungguhnya Allah penerima taubat, lagi maha mengasihani."
-surah al-Hujarat, ayat 12-

mengumpat sudah seperti suatu budaya. hampir dimana saja ada orang berkumpul, tentu ada lidah yang mengumpat. Tidak kisah jantina. Bila ditegur, kata mereka "macamlah kau tak biasa".

yang salah dirasakan betul kerana yang salah itu sudah dijadikan budaya. yang salah dijadikan betul bila nafsu menguasai jiwa. yang salah dilihat seperti betul kerana hati telah buta.

Nasihat dari Allah bila berhadapan dengan situasi sebegini;

"Dan apabila kamu melihat orang yang memperkatakan ayat-ayat kami dengan cara mencaci ataupun mengejek, tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain. Apabila kamu dilupakan oleh syaitan, lalu kamu duduk bersama mereka, janganlah kamu duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim itu, sesudah kamu teringat larangan itu."
-surah al-An'am, ayat 68-

bukan mudah untuk mengubah tajuk perbualan yang sedang hangat, tapi cubalah beberapa kali. jika tidak berjaya maka jauhkanlah diri darinya dan jika tidak terdaya duduk diam tanpa mengambil bahagian dalam perbualan itu.

Sabda Rasulullah s.a.w
"Barangsiapa diantara kamu melihat kemungkaran hendaklah ia merubah dengan tangannya; bila ia tidak mampu, maka dengan lisannya' dan kalau tidak mampu maka dengan hatinya. yang demikian itulah selemah-lemah iman."
-h.r. Muslim-

Kerana jika kita tidak menegahnya, dan hanya duduk mendengar, khuatir kita dikira bersubahat dan mendapat ganjaran yang sama dengan mereka yang mengumpat.

 Abu Darda' melaporkan, Rasulullah s.a.w bersabda
 "Orang yang mempertahankan maruah saudaranya, Allah jauhkan api neraka daripada mukanya pada Hari Kiamat"
[H.R Tirmizi]

Jauh dari mukanya dimaksudkan jauh dari pandangannya. Tidakkah kita ingin perkara ini berlaku pada kita di hari pembalasan?

Tidakkah kita ingin bergelar muslim yang terbaik oleh Rasulullah?

Musa Asy'ari bertanya
"Wahai Rasulullah, siapakah orang islam yang paling baik?
Rasulullah menjawab
" Orang yang menyebabkan semua orang Islam selamat daripada lidah dan tangannya."
[H.R Bukhari dan Muslim]


Akhir sekali, Jaga Lidah kita! Jaga Hati kita! Jaga Iman kita! jangan sampai kita dilaknat oleh Allah s.w.t!

"Celakalah bagi setiap pengumpat dan pencela"
[Al-humazah, ayat 1]

beramallah kita seperti seorang muslim
sehingga kita dapat melaungkan "Saksikanlah! aku seorang muslim!" tanpa ragu.

wallahualam.

Friday, November 5, 2010

NikmatMu 2

 setelah menjalani kehidupan sebagai seorang pelajar medic tahun 3 selama hampir 3 bulan, aku merasa gembira + sedih + tercarbar + berani.

Aku gembira kerana aku telah berjaya melepasi halangan "Professional Exam 1" dan berjaya meneruskan ke tahun klinikal.

Rasa tercabar sentiasa ada kerana ilmu yang dipelajari sewaktu pra-klinikal sangat memainkan peranan bila berhadapan dengan pesakit dan guru. Tanpa ilmu, hati tidak dapat mengilhamkan otak agar mengarah mulut untuk bertanyakan soalan kepada pesakit. Tanpa ilmu, emosi dan telinga hendaklah bersedia untuk mendengar 'nasihat' dari guru yang sudah bergelar doktor dan professor.

:P

Tapi, aku  merasa kecewa dengan diri kerana perasaan yang paling sedikit aku lalui adalah kesedihan. Setiap hari aku melihat mereka yang sakit, dan kesakitkan mereka itu perlu dirawat agar mereka boleh meneruskan kehidupan dengan lebih sempurna.

Setiap pesakit punya nikmat dunia yang telah ditarik oleh Allah, Tuan empunya alam, pemilik kepada segala yang ada diantara langitNya dan bumi dan yang mengawal setiap yang terjadi diantara siang dan malam.

Ada antara mereka yang ditarik nikmat untuk menggerakkan jari, ada yang tidak dapat membongkokkan badan, tidak dapat membuang air besar atau/dan kecil, tidak dapat berfikir dengan rasional, sukar untuk bernafas, bertutur. Juga ada yang ditarik rohnya dari jasadnya.

kebanyakan pesakit mengatakan mereka redha kepada Allah, mengatakan bahwa Allah sedang mengingatkan mereka, sedang memaafkan dosa mereka walau pada zahirnya mereka tidak menutup aurat, aktif merokok. Tapi aku sangat menghormati mereka kerana mereka punya kesedaran, mata mereka sudah basah mengenangkan kehidupan mereka.

Tapi aku... mengapa aku tidak mengambil pengajaran? mengapa aku tidak dapat melihat nikmat Allah yang masih padaku? Mengapa aku tidak insaf bila melihatn nikmat2 Allah yang sudah tiada pada mereka? mengapa hatiku tidak bergetar bila mendengarkan berita kematian mereka.

jika demikian keadaanku. nescaya aku sudah dicelakakan olehNya. Allah menerangkan didalam Al-Quran, bahawa setiap sesuatu punya pengajaran. Manusia yang punya akal fikiran dan yang berfikir, punya daya melihat dan menyaksikan, punya telinga dan mendengar, punya mulut dan menyampaikan. Hanya manusia seperti inilah yang boleh mengambil pengajaran.

‎"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah, gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka dan kepada Tuhanlah mereka bertawakal. " 
[8:2]

aku ingin merasakan getaran jiwa seperti orang-orang  yang beriman. 
aku tidak ingin hanya bergelar muslim, aku mahu menjadi seorang muslim.
aku ingin sehingga aku berani untuk melaungkan "saksikanlah! aku seorang muslim!"

semoga kamu peroleh pengajaran. belajar dari kesilapan orang lain, jangan tunggu sehingga diri melakukan kesilapan, khuatir ketika menyedarinya sudah terlambat.

Thursday, October 14, 2010

lepas rindu

rindu sangat nak tulis peringatan(tazkirah) pendek. bukan tiada masa, tapi selalu sangat dah lalai. Sungguh, menulis blog ni dah macam suatu ibadah.

kerna setiap kali aku menulis, aku meluangkan masa untuk mencari ilmu, untuk berfikir berdasarkan Quran dan Sunnah, terkadang kebenaran yang aku sampaikan membuatkan diri sendiri sebak, takut, syukur.

Bila aku menaip, aku ingat Allah dan bila aku membaca kembali hasilnya, aku ingat Allah, dan aku merasa puas jika ada yang meng"share"kan diblog2 mereka.

Doakan aku agar dapat menyelesaikan tajuk-tajuk pada "tab" mendatang. Ameen.


rase tak sedap hati nak tulis blog sbb banyak kerja bukan akademik tertangguh. maaf kepada yang memberi amanah. :(.

Tuesday, August 31, 2010

Aku sahabatmu?

Terkadang terasa sedikit pelik bila membaca hadith dan sejarah hidup Rasulullah. Rasulullah punya banyak sahabat. sehinggakan aku hairan, kenapa tidak perkataan "sahabat" tidak ditukar ganti kepada penggunaan kata lain yang sama maksudnya? seperti kawan karib? rakan?

bahkan tidak pernah aku terbaca mana-mana bahawa Rasulullah mempunyai kawan. Setelah membaca pesanan Al-Qamah kepada anaknya ini, baru aku tahu, mengapa mereka yang disekeliling Rasulullah bukan "kawan" atau "rakan". Beliau sama ada mempunyai musuh atau sahabat.

bersama kita hayati ciri-ciri sahabat sejati.

berkata Al-Qamah kepada anaknya
 "Wahai anakku! Kiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut:
1. Jika engkau membuat bakti kepadanya, dia akan melindungimu
2. Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas baik persahabatanmu itu.
3. Jika engkau memerlukan pertolongan daripadanya berupa wang dan sebagainya, dia akan membantumu.
4. Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik.
5. Jika dia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripadamu, dia akan menghargai dan menyebut kebaikanmu.
6. Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripadamu, dia akan menutupnya.
7. Jika engkau meminta sesuatu bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya.
8. Jika engkau berdiam diri (kerana malu untuk meminta), dia akan menanyakan kesusahanmu.
9. Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahanmu (membuat sesuatu untuk menghilangkan kesusahan itu).
10. Jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkanmu.
11. Jika engkau merancang sesuatu, nescaya dia akan membantumu.
12. Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan.

mungkin sudah wujud orang seperti ini dikalangan rakan kita. tetapi kita mengambil kesempatan terhadap keikhlasan dirinya. Smoga Allah menjauhkan kita dari bersikap sebegini. 

Friday, August 27, 2010

Kembara: ingin ke Kelantan.

sudah lama memendam niat untuk ke Kelantan. Ada beberapa kisah yang diceritakan oleh sahabat dan rakan membuatkan aku ingin sekali mengembara dibumi Kelantan. Tidak pernah melihat Kelantan dari media massa dan tidak pernah sekalipun bercuti di sana.

Setakat ni ada empat sebab sahaja dan ianya lebih dari memadai untuk menetapkan niat.

1. Dikatakan bila masuk waktu solat, pekedai meniggalkan kedai dan barang dagangan mereka untuk solat berjemaah di surau/masjid berdekatan! walau di tengah2 pasar ada surau terbina biar surau permanent atau sementara. 

sangat terharu! selama ini aku ingatkan keadaan ini hanya wujud di kota Mekah! ingin sekali melihat keadaannya!



2. Dikatakan hampir setiap jumaat beberapa jalan ditutup khas untuk pendengar yang ingin mendengarkan pesanan dari Tok Guru Nik Abdul Aziz.





3. Surau kompleks beli belah penuh bila waktu solat hampir masuk

dikatakan biarlah rupa seperti gangster, atau aurat terdedah. mereka tetap berebut mendirikan solat diawal waktu. semoga mereka diredhai Allah.


4. Melawat skolah pondok.

selalu dengar pasal skolah pondok. nak jugak jenguk2.


inilah checklist yang akan dipastikan selesai jika melawat Kelantan.

Sunday, August 15, 2010

Kenapa Istighfar?

Kita sering dianjurkan beristighfar dalam menjalani kehidupan seharian kita. Ia dikatakan sunnah Rasulullah kerana Muhammad sendiri selalu beristighfar.

Ibnu Umar menceritakan, kami pernah bersama-sama dengan Rasulullah dan kami mendengar Rasulullah mengulang-ulang membaca sebanyak 100 kali doa yang berbunyi: “Ya Allah ampunilah aku dan terimalah taubat ku, sesungguhnya Engkau Maha Penerima Taubat lagi Maha Pengasih.” (Hadis Riwayat Abu Dawud, Turmidzi dan Ibnu Majah, dishohehkan oleh Imam Turmidzi)

Kita memandang istighfar sebagai suatu amalan yang perlu dilakukan selepas melakukan dosa, sepertinya selepas sedar dari mengumpat.
Ada juga yang menjadikan istighfar sebagai ayat "melatah". seperti dalam keadaan terkejut.
Kasihan sungguh kita, selama ini kebanyakan istighfar yang dilafazkan di luar kesedaran kita!.

Bila ditanya pada diri sendiri, mengapa kita perlu istighfar? maka timbullah jawapan berdasarkan logik akal fikiran. 
"agar tenang", "agar dosa diampunkan", "agar hidup diredhai Allah" dan seterusnya...

Tapi adakah kita berpuas hati dengan jawapan berdasarkan logik akal fikiran kita saja? dalam setiap persoalan, kita hendaklah mendasarkan penilaian kita berdasarkan al-quran dan as-sunnah. Mari kita bertanya kepada dua bahan rujukan kita iaitu sunnah Rasulullah s.a.w dan ayat Al-Quran. 

Istigfar agar memperoleh pengampunan dari Allah s.w.t
 dalam surah an-nisa, ayat 110
"Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan dan menganiaya dirinya, kemudian ia mohon ampun kepada Allah, nescaya ia mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."

Ini adalah asas kepada istighfar, dan setiap muslim sepatutnya memahami fungsi istighfar ini.

Istighfar agar memperoleh perlindungan dari Allah s.w.t
 Dari surah Al-Anfar, ayat 33

"Dan Allah sekali-kali tidak akan mengazab mereka, sedang kamu (muhammad) berada dianatara mereka. Dan tidaklah (pula) Allah akan mengazab mereka, sedang mereka meminda ampun"

dan dari surah Gharfir/Al-Mukmin, ayat 7-10

"(Malaikat-malaikat) yang memikul 'Arasy dan (malaikat) yang berada di sekelilingnya bertasbih dengan memuji Tuhanny dan mereka beriman kepada-Nya serta memohonkan ampunan untuk orang-orang yang beriman (seraya berdoa):
"Ya Tuhan kami, rahmat dan ilmu yang ada pada-Mu meliputi segala sesuatu, maka berilah ampunan kepada orang-orang yang bertaubat dan mengikuti jalan-Mu dan periharalah mereka dari azab neraka. 

"Ya Tuhan kami, masukkanlah mereka ke dalam syurga "Adn yang telah Engkau janjikan kepada mereka, dan orang yang soleh diantara nenek moyang mereka, istri-istri(dan suami), dan keturunan mereka. Sungguh, Engkaulah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana"

"Dan peliharalah mereka dari kejahatan. Dan orang yang Engkau pelihara dari kejahatan pada hari itu, maka sungguh, Engkau telah menganugerahkan rahmat kepadanya dan demikian itulah kemenangan yang agung."
Lihatlah, bagaimana mulianya manusia yang memohon ampun kepada Allah. Sehingga para malaikat mendoakan mereka sedemikian. dan doa para malaikat bukan hanya untuk individu yang memohon ampunan Allah, bahkan untuk nenek moyang (ahli keluarganya yang telah meniggal), pasangannya, dan zuriat mereka (anak, cucu, cicit dan seterusnya).


Istighfar agar mendapat kesenangan dan terlepas dari keadaan risau dan resah

Diriwayatkan dari Abdullah bin Abbas radhiyallahu ‘anhuma, bahwa Rasulullah telah bersabda: “Barangsiapa melazimkan istighfar, maka Allah akan jadikan jalan keluar dalam setiap kesulitan hidup, dan jadikan setiap kegundah-gulanaannya menjadi kebahagiaan dan Allah akan memberinya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka.”
(HR. Abu Dawud dan Ibnu Majah)

Mari dengarkan sebuah kisah dari sebuah kitab Tafsir Al-Maraghi hasil tulisan seorang ulama bernama Ahmad Musthafa al-Maraghi. kisah tentang seorang tabi'in (generasi ulama selepas sahabat rasulullah) yang bernama Hasan Al-Basri. Hasan sering didatangi mereka yang bertanya hukum agama dan meminta nasihat atas segala persoalan. 

Suatu hari Hasan didatangi seorang lelaki yang mengadu tentang kelaparan yang dihadapinya. Hasan dengan penuh perhatian menjawab "Istighfarlah kepada Allah swt"
Datang lagi seorang lelaki meminta Hasan untuk mendoakannya agar dia mempunyai zuriat. Hasan menjawab "beristighfarlah kepada Allah swt"
Kemudian datang lagi seorang lelaki yang kebunnya mengalami kekeringan. Hasan terus menjawab "beristighfarlah kepada Allah swt"

Kelakuan Hasan tadi amat menghairankan penduduk sekitarnya. sehingga seorang dari penduduk itu bertanya kepada Hasan "Beberapa orang lelaki mendatangimu mengeluhkan berbagai persoalan, tetapi engkau hanya menyuruh mereka semua untuk membaca istighfar!”
Maka Hasan menjawab "Aku sama sekali tidak mengatakan apapun dari diriku sendiri. Sesungguhnya Allah SWT berfirman (seperti itu)”.
Firman Allah yang dimaksudkan oleh Hasan adalah surah an-nuh ayat 10-12 yang bermaksud

"Maka aku (nabi Nuh) berkata (kepada kaumnya) "Mohonlah ampunan kepada Tuhanmu, sungguh, Dia Maha Pengampun, Nescaya Dia akan menurunkan hujan yang lebat dari langit kepadamu, Dan Dia memperbanyak harta dan anak-anakmu, dan mengadakan kebun-kebun untukmu dan mengadakan sungai-sungai untukmu"


contohilah Hasan al-Basri kerana sikapnya dan pemikirannya yang sentiasa berdasarkan al-quran dan as-sunnah.


Istighfar sebagai usaha memakbulkan doa

Firman Allah dalam surah Al-Hud, ayat ke-3
"Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhanmu dan bertaubat kepada-Nya. Nescaya Dia akan memberi kenikmatan yang baik kepadamu sampai kepada waktu yang telah ditentukan dan Dia akan memberikan kepada tiap-tiap orang yang mempunyai keutamaan (balasan ) keutamannya. jika kamu berpaling, Maka Sesungguhnya aku(Muhammad) takut kamu akan ditimpa seksa hari kiamat"


kali ini, kita bacakan kisah tentang seorang alim yang bernama Ahmad bin Muhammad bin Hanbal Abu `Abd Allah al-Shayban yang cukup terkenal dengan nama mazhabnya, iaitu mazhab Hanbali.

suatu ketika itu, Imam Ahmad singgah di sebuah tempat yang kebanyakan mereka tidak mengenalinya (kurangnya teknologi ketika itu). keadaan sudah larut malam dan Imam Ahmad merasa letih dan ingin tidur didalam sebuah masjid. Tapi niatnya tidak kesampaian kerana penjaga masjid tersebut melarang Imam Ahmad untuk tidur di masjid. Imam Ahmad kemudian bertanya kepada penjaga tersebut sama ada dia dibenarkan untuk tidur di luar masjid, penjaga itu melarangnya. Imam Ahmad bertanya lagi jika dia tidak tidur, tetapi hanya berdiri di perkarangan masjid, penjaga itu melarangnya lagi.
Penjaga itu kemudian menolak Imam Ahmad dari masjid tersebut.
Seorang pembuat roti ternampak kelakuan antara Imam Ahmad dan penjaga masjid tersebut. Setelah jelas akan situasi Imam Ahmad, maka si pembuat roti mempelawa Imam Ahmad untuk bermalam sahaja dirumahnya. Imam Ahmad menerima pelawaan tersebut.
Ketika Imam Ahmad hendak tidur, dia terdengar zikir istighfar dari si pembuat roti yang sedang sibuk membuat rotinya. Imam Ahmad mendengarkan zikir itu sehingga boleh dikatakan si pembuat roti itu berzikir istighfar sepanjang malam.

Paginya Imam Ahmad bertanya kepada si pembuat roti mengapa dia beristighfar. maka si pembuat roti menjawab, "Setakat ini segala doa saya dikabulkan Allah melainkan satu perkara sahaja belum lagi".

Imam Ahmad bertanya "Apakah doa kamu yang belum di perkenankan oleh Allah itu?.

Jawab lelaki itu " Saya berdoa agar dipertemukan dengan Imam Ahmad bin Hanbal" 
Maka kata Imam Ahmad : Saya lah orangnya, Akulah Imam Ahmad Bin Hanbal, demi Allah, sesungguhnya aku telah diseret untuk menuju kepadamu."
 (sumber: majalah Qiblati, indonesia. edisi ke 8)

Besarnya kuasa Allah! Kerana sayangnya Allah kepada si pembuat roti, dibawanya Imam Ahmad kepadanya. 

dalam kisah ini kita juga patut mencontohi akhlak Imam Ahmad. walaupun beliau mengetahui nama beliau amat terkenal dan dihormati, tetapi beliau tidak membanggakan namanya agar memperoleh pertolongan dari manusia. beliau tidak mengungkit kebaikan yang telah beliau lakukan. kerana jika beliau mengungkit kebaikan yang telah beliau lakukan dengan memberitahu namanya dengan mengharapkan balasan, maka khuatir Allah akan membalas dengan memadam segala amalan yang dibanggakan tadi.

"Jauhilah olehmu akan mengungkit-ungkit pemberian karena yang demikian itu dapat menggagalkan kesyukuran dan menghilangkan pahala." (HR.Muslim)

Inilah antara kebaikan yang kita perolehi jika kita selau beristighfar kepada Allah. Sekarang kita boleh lebih menghayati lafaz astaghfirullah hal azim dan yang seteru dengannya.

Bagaimana dan apakah lafaz zikir yang digunakan untuk beristighfar? ucapkanlah apa yang kamu inginkan selagi ianya membawa maksud mengharap pengampunan dari Allah swt, kerana istighfar itu sendiri membawa maksud memohon ampunan dari Allah.

Sesungguhnya Allah swt dan Rasulnya juga lebih mengetahui.

Beramallah kita seperti seorang muslim
sehingga kita berupaya melaungkan "Saksikanlah! aku seorang muslim!" tanpa ragu.
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

cetusan idea dari majlis ilmu bersama ustazah Salawahyu (maaf jika salah ejaannya)








Wednesday, July 28, 2010

untukku dan untukmu


Apakah hatimu seperti batu?
tidak sayu saudaramu dipalu
tidak pilu hilang peganganmu
tidak malu persendakan agamamu
biarkan nafsu menjaga dirimu

Apakah kamu sudah lupa?
Pergerakanmu diperhatikan oleh Maha Esa
'Illiyin dan Sijjin saksi rahsia di dada
terbongkar semua di hari Bencana
saat matahari seakan sejengkal dari kepala


Rasulullah kekasih-Nya jadikan teladan
akhlaknya seperti Al-Quran berjalan
kehadirannya membawa angin ketenangan
sentiasa berjalan memberi pesanan
ikutlah arahanNya laranganNya tingalkan

melihat mendengar nikmatNya padamu
langit dan bumi disediakan untukmu
gunakan akal dan mata hatimu
syukurlah dan sujud pada Tuhanmu
Tunaikan perintahnya sehingga diseru
Syurga dan neraka sudah dikhabarkan
sebagai hadiah juga amaran
setiap kamu bergelar insan
tiada terlepas dari perhitungan
kembalilah kepada sunnah Rasul dan hukum Al-Quran

Marilah wahai saudara-saudaraku
bangunlah dari tempat beradu
bertaubatlah dari kesalahan lalu
janganlah lupa janganlah ragu
aku dan kamu milik Yang Satu

Monday, July 19, 2010

Virus Benci Virus Sayang

Tersebutlah sebuah kisah, disebuah banggunan syarikat pengendalian urusniaga. Seorang General Manager Azmi M Karim, sedang memeriksa portfolio yang baru sahaja disiapkan oleh seorang berjawatan Manager , Ahmad Kasim. Kebetulan pada hari itu, pendingin hawa bilik milik Azmi rosak. Maka dia meminta Ahmad untuk membuka tingkap pejabatnya yang berada di tingkat 11 sementara dia memeriksa portfolio Ahmad.


Ahmad begitu yakin bahawa Azmi akan terpukau melihat hasil kerja yang begitu mantap, kerana ini kali kedua Ahmad yang baru sahaja naik pangkat menghantar portfolionya. Tapi keyakinannya mula rapuh bila melihatkan bosnya membulatkan mata dan mengerutkan dahi. Azmi dengan serta merta menghentam fail ke arah meja dihadapan Ahmad. Ahmad menundukkan kepala dan membongkokkan badan. Dia takut dan hairan.

"Eh? Ape yang aku salah buat? Aku dah buat ikut format, aku hantar sebelum deadline, aku dh susun maklumat dengan kemas?

Sejenak berfikir, timbul prasangka bahwa maklumat yang diperolehinya untuk portfolio itu salah.

"Ini mesti salah diorang ni!, maklumat semua aku dapat dari diorang" Bisik Ahmad.


Fikiran Ahmad terhenti, terdengar suara umpama ngauman singa yang ingin menyerang

"Apa ini!!? Mana kamu dapat maklumat ini!!? Sejak bila syarikat kita membeli barangan ini sebanyak tiga puluh ribu unit!!?

Ini!!, Ini!, Ini! Semuanya salah!"

Jari telunjuk Azmi melompat-lompat di atas kertas portfolio tadi.


"Buat balik semua! Dan saya nak tengok dokumen ini diatas meja saya hari khamis nanti!"


Ahmad keluar selepas meminta maaf atas kesilapannya dan keluar dari pejabat Azmi. Dia berjalan dengan langkah yang laju dan hentakan yang kuat. Dia berasa begitu malu dan marah.

"Celaka, siap korang. Memang nak sabotaj aku. Ah!"


sampai saja di ofisnya, dia terus menunding-nunding jari sambil berkata dengan jelas dan lantang,

" Salim! Kamsah!, mane kamu dapat maklumat yang kamu bagi haritu!!? kamu dua sengaja beri maklumat palsu ke ape!!? dengki aku naik pangkat ke ape!!? "

"Aku nak korang check balik dan bagi aku maklumat tu by pagi esok!! dan aku nak korang pastikan kali ni maklumat tu semuanya betul!!."


Sebaik saja suara Ahmad senyap, terdengar dentuman kuat pintu biliknya dari luar ofis. Mulalah mereka yang terdengar membuat andaian masing-masing.

Salim dan Kamsah saling berpandangan, kedua-dua berasa hairan. Dan masing-masing mula merasa kurang selesa kerana kedua-duanya mula menuduh selain diri masing-masing kerana kesalahan maklumat.

Keadaan menjadi seram....

------------------------------------------------------------------------------------------------------

Petang itu Ahmad hendak pulang ke rumah dan menuju ke arah tempat letak kereta. Masih lagi menyimpan rasa marahnya terhadap orang bawahannya. Terkumat kamit bibirnya tentang kesalahan Kamsah dan Salim. Perasaannya semakin "panas" kerana dia tersekat dalam kesesakan lalu lintas yang hampir setiap hari dilalui olehnya.


di rumah, isteri Ahmad, Salwa merasa letih dan sedikit malas. Dia duduk di sofa di kawasan ruang tamu sambil melihat skrin television yang hitam. Anak perempuan kecilnya berasa aneh melihat ibunya melihat television yang belum di"on".

"Ummi tngk ape tu? Nape ummi tak on tv? Ummi sedih tak jumpe remote ke?" anak comel itu bertanya.


Salwa senyum dan memeluk dan bertanya kembali kepada anaknya

"Nisa nak pegi makan di luar tak malam ni? Nak makan kat KFC? Atau kedai Mak Teh? , kan Nisa suka makan nasi goreng di kedai Mak Teh?"


Anak kecil itu senyum tanda setuju, dan berlari masuk ke bilik untuk bermain dengan patung kura-kuranya dan kucing yang dibelanya.

Salwa senang hati melihat gelagat anaknya. Salwa bercadang untuk menonton television sementara menunggu kepulangan suaminya dari kerja. Baru saja tangan Salwa mencapai remote control, terdengar bunyi deruman enjin dihadapan rumah. Salwa membatalkan niatnya tadi dan terus berjalan menuju ke pintu. Salwa senyum sambil menyandarkan bahunya di pintu sementara menunggu suaminya keluar dari kereta. Melihatkan suaminya menghampirinya, Salwa ingin menyampaikan hajatnya untuk makan malam di luar.

Tapi Ahmad, dari pintu keretanya lagi sudah merasa hairan kenapa isterinya dalam keadaan baju tidur berdiri menyandar di pintu hadapan rumah. Terus lantang suaranya bagai menjerit

"Kenape ni dok tercegat dekat pintu dengan baju tidur!? Tak malu ke jiran semua tengok!? Masuk! Pergi masak! Abang dah lapar ni! Jangan banyak cakap!"


Salwa tergamam dan terus memalingkan badannya berjalan ke arah dapur tanpa berkata apa-apa. Hatinya merajuk.

Nisa keluar dari biliknya dan terus mencari Salwa di dapur. Nisa menarik baju Salwa di paras pinggangnya dan bertanya dengan nada suara yang comel,

"Ummi, malam ni Nisa nak makan di kedai Simpang Tiga lah, dah lame Nisa tak makan mee sup. Mee sup situ sedaaaap"


Salwa menjawab dengan nada suara tegas, tanpa melihat ke arah mata sikecil yang comel

"Tak jadi, duduk diam-diam, ummi sibuk, jangan main di dapur, main kat luar"


Nisa melepaskan jarinya dari kain Ibunya dan memeluk erat patung kura-kuranya. Nisa takut, dia dapat merasakan aura kemarahan Ibunya. Dia berjalan ke ruang tamu, dan melihat ayahnya, dia juga takut melihat muka ayahnya, secara tidak sedar, dia dapat membaca hati ayahnya yang tidak tenang. Nisa hampa dan berjalan kembali ke dalam bilik.

Dalam perjalanannya, kucingnya menggesel-geselkan kepalanya di kaki Nisa. Nisa membalas geselan kucing itu tadi dengan menghasilkan bunyi seperti kucing yang marah. Nisa mengendahkan kucing itu tadi dan terus baring di atas katilnya dan tidur.


Tamat Cerita


Lihatlah, bagaimana perasaan benci dan marah boleh berjangkit-jangkit. Bagaimana perasaan benci dan marah boleh menyebabkan fitnah. Bagaimana perasaan benci boleh mempengaruhi seorang anak kecil.

Cuba bayangkan bagaimana jalan cerita ini jika setiap perasaan benci ditukarkan menjadi sayang. Iaitu saling memaafkan, saling memahami, dan saling bersikap lembut.


  • Sudah tentu Ahmad tidak ditengking oleh Azmi
  • Sudah tentu Kamsah dan Salim ditegur akan kesalahan mereka dengan tidak meninggikan suara
  • Sudah tentu Salwa dipeluk erat suaminya sebaik saja masuk ke rumah
  • Sudah tentu Nisa dapat merasakan mee sup di kedai makan di simpang tiga.
  • Dan sudah tentu kucing Nisa dibelai-belai sehingga tertidur manja.


Lihatlah. Bagaimana perasaan sayang juga boleh berjangkit-jangkit! Bagaimana perasaan sayang boleh menghentikan perjalanan kitaran benci.

Rasulullah ada bersabda:

“Awasilah diri kamu daripada sifat marah kerana marah itu menyalakan api dalam hati anak Adam.”

[H.R Abu Said al-Khurdi ]

Penyakit umat sebelum kamu telah menular kepada kamu; iaitu hasad dengki dan permusuhan. Permusuhan tersebut ialah pengikis atau pencukur, Saya tidak maksudkan ia mencukur rambut, tetapi (yang saya maksudkan) ialah ia mengikis agama.”

[Hadith riwayat Al-Baihaqi]


Pilihan sentiasa ditangan kita. Sama ada untuk marah atau tidak. Apa gunanya melantangkan suara seperti hilang kewarasan? Cukuplah dengan suara yang tegas. Contohilah sikap para Rasul, para para Nabi, dan para Sahabat. beringat-ingatlah kita, perasaan marah dan benci itu datangnya dari syaitan, dan perasaan sayang itu adalah dari rahmat Allah.


Contoh dari Hadith (kisah) untuk dijadikan teladan

ABU Hurairah dan Said Al-Magburi meriwayatkan: “Ada seseorang lelaki memarahi Saidina Abu Bakar. Ketika itu Rasulullah duduk di sebelahnya. Nabi diam saja, begitu juga Abu Bakar.

Selepas orang itu selesai memaki hamun dengan mengeluarkan kata-kata kesat, Abu Bakar membalas makian itu, tetapi Rasulullah bangun dan beredar dari situ. Abu Bakar hairan dan terus mengekori Nabi Muhammad sambil berkata: “Ya Rasulullah, dia memaki saya dan engkau pula diam. Ketika saya menjawab maki hamun itu, tiba-tiba engkau bangun lalu pergi.”

Rasulullah lantas menjawab: “Sesungguhnya malaikat mengembalikan semua makian orang itu kepadanya ketika engkau diam, tetapi ketika engkau membalas makian itu, maka malaikat pergi dan syaitan pula masuk dan saya tidak suka duduk bersama syaitan.”

Rasulullah kemudian bersabda lagi: “Allah akan memuliakan hamba-Nya ketika sedang dianiaya lalu memberikan kemaafan sambil mengharapkan keredhaan Allah.”


Sesungguhnya Allah dan juga rasulnya juga yang lebih mengetahui.


Bersama kita beramal seperti seorang muslim
sehingga kita layak untuk melaungkan "Saksikanlah! aku seorang muslim" tanpa keraguan.

Thursday, July 15, 2010

semangat Palestin, kembalikan

Kita senyap kerana lalai,
mereka senyap sedang merancang.

Kita tunggu untuk dibangunkan,
mereka sibuk lupa tidur.

Kita kembali duduk tersandar,
lupa saudara baring terdampar.

Mana perginya suara pembela?
berkawat, menjerit dengan kibaran bendera.

Leka dalam peredaran waktu,
termasuk perangkap hiburan musuh

Terus menyokong pasukan penyerang,
sambil memenuhi kehendak nafsu

Dahulu sayang kemudian benci,
selepas benci kembali sayang

Prinsip agama bagai permainan,
ditarik disorong oleh manusia

Bangunlah wahai penggerak ummah,
biar bertatih jangan berhenti

Bebaskan diri dari simpulan syaitan,
sujud menyambut kedatangan Tuhan

Laungkan kalimah Allah teragung,
sebarkan persaudaraan dalam islam

Tuntut keadilan perangi kezaliman,
mari menuju syurga abadi

Monday, July 12, 2010

berpisah dengan mereka yang selalu berpesan

aku bimbang ketika cuti hampir tiba. kerana ini bermaksud aku akan meninggalkan mereka. meninggalakan sahabat dan rakan yang selalu berpesan-pesan kearah kesabaran dan kebenaran. biarpun niat mereka hanya untuk bergurau, tapi gurauan itu terkadang tepat menusuk hati ini dan cukup untuk membuatkan aku merasa bersalah.

aku rindu akan keadaan itu, aku rindu ditegur dan bersenda gurau. aku rindu membincangkan tentang fahaman hadith dan ayat Al-Quran.

termenung duduk didalam bilik selepas solat Zohor.

"Ape nak buat petang ni... " hatiku berfikir dan mengeluh.

aku ternampak buku yang baru aku beli di MPH. aku mencapainya secara separuh sedar, mindaku masih melayang memikirkan apa yang patut dibuat sehingga masuk waktu Asar.

aku buka lipatan kecil di sebelah atas muka surat 13 yang aku tanda 2 hari lepas. Dan terus mengambil keputusan untuk membacanya di sofa ruang tamu. keadaan di situ lebih tenang dan selesa untuk membaca.

Air mataku mengalir, aku merasa sebak. aku terbaca kisah perpisahan antara Muhammad Rasul Allah dengan seorang sahabat baginda. Aku merasakan keadaanku hampir sama dengan keadaan Sahabat Rasulullah itu.

Mu'adz namanya. Dia diutus oleh baginda Rasulullah untuk menjadi pendakwah bagi penduduk Yaman.

Mu'adz yang ketika akan berpisah dengan Rasulullah s.a.w tidak kuasa menahan tangis. sehingga Rasulullah bersabda
"Mengapa engkau menangis wahai Mu'adz?"

Mu'adz menjawab
"Wahai Rasulullah, aku menangis kerana akan berpisah denganmu"

Rasulullah bersabda
" Jangan gelisah, sebab kegelisahan itu datang dari syaitan.
Wahai Mu'adz, bertakwalah kepada Allah di mana sahaja engkau berada, iringilah kejahatan itu dengan kebaikan agar (dosa kejahatan itu) terhapus, dan perlakukan manusia itu dengan baik.

Wahai Mu'adz, ingatlah kepada Allah setiap kali melewati bebatuan, pepohonan, dan keramaian." 1

Aku berhenti membaca. aku termenung ke siling. hati kecilku berdoa
"Ya Allah, maafkan aku, aku tidak bersyukur atas ujian-Mu. kuatkan diriku untuk menghadapi ujian-Mu"

Semoga kita terus berada dalam Rahmat-Nya, dalam DakapanNya, dan sentiasa mengingatiNya.



Rujukan:
1. Hadith Riwayat Tirmizi dan Ahmad, m/s 14, Aid Abdullah Al-Qarni, "Pesanan untuk orang Berdosa"

Thursday, July 8, 2010

terbatas

aku ingin sekali update, ingin sekali menulis. Tapi aku rasa terbatas.

Terbatas,
Laptop ku rosak,
Rumah tiada internet connection,
Dan masalah terbesar. Akhlakku sendiri terhadap masa. Hatiku tidak tenang menasihat orang lain sedang sendiri selalu dalam kelalaian.

Ibuku sibuk bekerja, hanya pulang waktu malam, ayahku kerja di bandar lain. Masih tiada peluang untuk satu keluarga bertemu...

Doakan aku. Agar aku lebih yakin, aku tidak keseorangan.

Friday, June 25, 2010

Diet

telah tiba kepada kami student 08/09 CUCMS suatu musim yang selalu dirindui oleh manusia ketika mereka bertungkus lumus dalam meneruskan kehidupan. musim yang jika berpanjangan akan menyebabkan manusia tadi rindu pula kepada keadaan 'bertungkus lumus'. musim yang dinamakan 'HOLIDAE~' :).

musim ini didefinisikan sebagai musim 'makan, & tidur' dan sedikit sekali diantara mereka yang melakukan perkara-perkara yang bermanfaat bagi diri mereka.

seorang sahabat berkata 'hm... itulah yg aku risaukan, ade tips tak? Bila dia dinasihatkan untuk menjaga pengambilan makan manis.

mendengarkan perbualan mereka, aku berfikir, mengapa perlu kita mengawal pemakanan kita?
ramai yang berpendapat
'untuk menjaga kesihatan'
'menjaga imej, nnt saham jatuh'
'takut gemuk balik'

tidak perlu berfikir panjang ketika menjari jawapan kepada sesuatu persoalan.kerana semua jawapan sudah tersedia didalam Al-quran, hadith dan sunnah ArRasul.
Firman Allah: al-A'raaf, ayat 31.
"Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap (memasuki) masjid, makan dan minumlah dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan"

segala yang ada pada kita adalah hak Allah. jagalah hakNya dengan adil. tujuan kita dibumi adalah untuk memakmurkan hak-hak Allah, bukan menzalimi dan merosakkannya.

surah al-Hud, ayat 61
"Dia lah yang menjadikan kam udari bahan-bahan bumi, serta mengkehendaki kamu memakmurkannya"

semoga kita beramal seperti seorang muslim
sehingga kita layak melaungkan 'saksikanlah, aku seorang muslim' tanpa keraguan dihati.

p/s: oh, tak hairanlah mereka yang beriman jarang terkena penyakit... mereka selalu menjaga pemakanan mereka...

Sunday, June 20, 2010

Kemanisan Professional Exam


Sejurus selepas Proffessor Hatta Shaharom, Presiden CUCMS selesai mengumumkan nama-nama mereka yang memperoleh distinction. Suasana beransur sepi. Pelajar perubatan tahun dua yang menghadiri majlis pengumuman keputusan Professional Examination 1 menunjukkan pelbagai karenah. Ada yang bermain dengan jari- jemari mereka seperti pesakit Parkinson. Ada yang mengangguk-angguk kepala, ada yang menutup mulutnya dengan kedua belah tangan, ada yang merapatkan diri dengan rakan disebelah. Suasana senyap itu dipenuhi dengan aura pengharapan. Harapan mereka semua sama. Iaitu mendengarkan nama mereka dizahirkan oleh pergerakan bibir dan hembusan angin melalui kotak suara Professor Hatta.

Seorang demi seorang bertempik keriangan, turut diiringi dengan tepukan dan takbir dari rakan. Mulutku terkumat-kamit berzikir dan berdoa agar apa yang aku rasa terbaik buat diriku adalah yang terbaik untukku. Aku teringat akan janjiku pada Allah ketika solat zohor tadi.

“ Ya Allah, yang maha Penyayang, yang maha Pengasih, yang maha Pemurah, yang maha Pembuka. Bukakanlah pintu hati kami agar kami redha dengan segala keputusanMu, berilah kami kemenangan jika ianya adalah yang terbaik buat kami. ”

Hampir semua nama ahli kumpulan diskusiku sudah mengukir senyuman dan mengalirkan air mata mereka. Aku menahan sebak atas kejayaan mereka, aku gembira melihat mereka gembira.

“NurFatin Atikah, Nur Nadia, Nur Sakinah, Nur Aqilah, Nur…” Professor Hatta terus membaca nama-nama mereka yang lulus.

Aku menjadi semakin gelisah. Hatiku berbisik.

“Ah! Kenapa ramai nama bermula dari Nur??, bilakah giliran aku? “

Aku tersedar, terasa hampir semua nama rakan sekelasku telah disebut namanya, kelihatan Professor Hatta sedang memegang bahagian tengah kertas keputusan sambil matanya tajam melihat bahagian bawah kertas bersaiz A4.

Aku membongkokkan badanku, menggenggam erat penumbuk kananku, memeluk “sling bag”ku dengan erat.

Aku merasa keadaan semakin sunyi.

Terdengan suara yang mendatar tadi menyebut

“Noor Shaafi Haziq Bin Musa”

Mata ku terbeliak, aku mengambil nafas pendek, aku menggengam kuat kedua tanganku dan aku hayunkan ke bawah dengan sepenuh tenaga serentak dengan jeritan kecil. “Allahhuakbar!, Alhamdulillah…”

Pandanganku terus kabur, aku membongkokkan lagi badanku, menahan nafasku seketika. Aku merasakan bahuku ditepuk berkali-kali.

Aku terimbas kembali perjalananku sepanjang bergelar pelajar perubatan (MBBS). Diari mingguanku selalu diisi dengan perkataan “gagal”, “terus mencuba”, “insyaAllah”. Aku begitu hampir untuk mengulangi tahun dua pengajian perubatan kerana gagal mendapatkan GPA 2.0 untuk dua semester berturut-turut. Dan masalah kewangan yang aku hadapi. Sehingga suatu ketika aku ingin berputus asa dan meminta ayahku untuk menukar pengajian.

Melihatkan keadaanku, sahabat diskusi yang duduk dibelakangku menghulurkan tisu dan mengurut bahuku sekejap. Aku merasa lengan kananku digenggam erat dan terasa sentuhan lembut pada lutut kiriku. Pipiku terus basah, dan hidungku mula tersumbat. Aku cuba mengawal diriku dengan beristighfar agar aku tidak teresak-esak, agar aku tidak berbangga-bangga.

Aku kembali menegakkan badanku, aku melihat raut wajah rakan-rakan dan sahabatku. Semua melahirkan senyuman kepuasan. Aku senyum kepuasan.

Selesai majlis, kami berpelukan. Hatiku bergetar lagi bila berpelukan dengan sahabat yang kisah hidupnya sebagai pelajar perubatan hampir sama dengan diriku. Aku mendakapnya dengan erat dan lama. Dan aku berbisik dengan nada suara yang lemah.

“kita berjaya, kita berjaya, kita berjaya”

Aku tahu dia juga sedang menahan dirinya dari teresak-esak.

Selesai memeluk setiap rakan dan sahabatku. Aku menguatkan langkahku untuk berjumpa dengan si Dia yang aku cintai. Yang sentiasa membantuku dan memberiku harapan. Yang sentiasa disampingku diwaktu susah dan senang. Yang memberiku rezki dari arah yang tidak disangka-sangka. Dan pertemuan kami membawaku kepada semangat yang baru. Kontrak perjanjian yang baru...


“…barang siapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan jalan ke luar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-taip sesuatu”

[At-Thalaaq, ayat 2-3]

Semoga ini menjadi pengajaran bagi diri ini dan kamu.

Semoga kita sentiasa dalam golongan yang diredhai olehNya.

Kepada yang berjaya jangan terleka, dan teruskan berdoa kepada mereka yang ditangguh kemenangannya.

Tuesday, June 1, 2010

Show your solidarity toward this inhumanity

aku teringat, datang seorang akhi berkata padaku.
"mustahil untuk kita boikot barangan israel, kuasa mereka dalam bidang ekonomi terlalu hebat, barangan mereka dipasaran terlalu banyak. dan kebanyakannya adalah barang dan makanan seharian kita."

aku dengan tiba-tiba terasa hendak marah. aku menjawab dengan nada suara yang agak tinggi dan tegas.
"apa yang mustahil? aku dan ramai lagi dah lame boikot. banyak alternatif lain kita boleh pilih. macam milo, beli lah vico, ovaltine"

dia menjawab
"oh, vico dan ovaltine bukan barangan nestle? oh..."
perbualan terhenti mungkin kerana ketidakselesaan dua-dua pihak. maaf yer kamu... :)

ya. memang diakui nestle adalah sangat hebat. Syarikat nestle memegang 50% daripada saham Osem Investment company (antara syarikat kilang dan pengedar makanan terbesar di israel) dan 26% daripada saham syarikat L'oreal. hebat bukan?

antara barangan nestle yang menjadi makanan harian ramai diantara kita;
  • Maggi
  • Milo
  • Nescafe
  • Kit Kat
  • Ice-Cream Nestle [Drumstick, Mat Kool, Crunch, Trophy, dll]
  • Cereal Nestle [ koko crunch, honey star ]
  • dan barangan lain
tidak lupa juga kepada McDonalds, Starbucks, Coca-cola company.

bila berkata tentang boikot. bukan maksudnya kami mahukan kamu memboikot secara seluruhannya. mulakan dengan usaha yang sedikit. mungkin hanya memulaukan maggi, kemudian milo dan seterusnya.

Percayalah, kamu akan terbiasa dan tidak merasa rugi bila memboikot, sebaliknya kamu akan rasa "puas hati".

memang "israel" itu degil, memang mereka khianat, memang mereka dilaknat-Nya.
TAPI, jangan kamu juga begitu!
jangan jadi seperti mereka!
hentikan sokongan kamu terhadap mereka!
hentikan pembelian yang menguntungkan "israel".
Berkorbanlah sedikit untuk saudara dan agama kita.
jangan biar kemanisan makanan di lidah, menyebabkan KAMU juga termasuk dalam golongan mereka.

"Sesungguhnya orang-orang yang menimpakan bencana untuk memesongkan orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman, kemudian mereka tidak bertaubat, maka mereka akan beroleh azab Neraka Jahannam (kerana perbuatan buruk itu) dan mereka akan beroleh lagi azab api yang kuat membakar (kerana mereka tidak bertaubat)."
[Al-Burooj: 10 ]


Kita memboikot kerana amanah, kerana prinsip islam!
kerana Islam bukan budaya yang hanya diamalkan turun-temurun, tapi adalah prinsip yang diperjuangkan sejak dahulu!

Semoga kita beramal seperti umat muslim.
sehingga kita layak melaungkan "Saksikanlah! aku seorang muslim"!

Bersama kita Amalkan~ :)

Tuesday, May 18, 2010

Melupakan dan Dilupakan

manusia sering melakukan kesalahan yang sama. ada yang berusaha untuk membaikinya ada yang tidak.

mengapa tidak? adakah kerana mereka "enjoy" melakukan kesalahan berulang kali?
jika mengikut logik fikiran akal, setiap manusia mahukan yang terbaik.

Hairan bukan?

mereka bukan tidak ingin maju, tetapi mereka tidak sedar akan kekurangan diri yang ada pada mereka. tidak sedar bahwa perbuatan mereka sedang memudaratkan dan menzalimi diri sendiri.

inilah balasan kepada mereka yang lupa akan Allah.

Firman Allah dari surah Taha, ayat 126 -127

"Demikianlah keadaannya! Telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu, lalu engkau melupakan serta meninggalkannya dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan. Dan demikianlah Kami membalas orang yang melampaui batas dan tidak beriman kepada ayat-ayat keterangan Tuhannya dan demi sesungguhnya azab akhirat itu lebih berat dan lebih kekal."

bila Allah melupakan kita, meninggalkan kita, apa akan jadi pada kita?

mata kita, hati kita, sudah tidak tidak dapat membezakan yang baik dengan yang buruk. kita hanya seronok melakukan apa yang suka kita lakukan.
kita sudah hilang kebolehan untuk melihat, memikirkan, memahami dan mengambil pengajaran dari tanda-tanda kekuasaan Allah.

kita sudah "dihijab" untuk melihat pintu-pintu kebaikan.

mereka disekeliling kita juga seperti tidak sedar akan keadaan kita dan sentiasa ada yang menghalang mereka untuk mengajak kita kearah kebaikan. bahkan jika telah sampai pesanan kebaikan itu kepada kita, kita sendiri akan mengendahkannya kerana ke"jahil"an pada diri kita sendiri

"Aku akan memalingkan orang-orang yang menyombongkan dirinya di muka bumi tanpa alasan yang benar dari tanda-tanda kekuasaanKu. Mereka jika melihat tiap-tiap ayat(Ku), mereka tidak beriman kepadanya. Dan jika mereka melihat jalan yang membawa kepada petunjuk, mereka tidak mahu menempuhnya, tetapi jika merek melihat jalan kesesatan, mereka terus menempuhnya. Yang demikian itu adalah kerana mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka selalu lalai daripadaNya"
[Al-A'raaf : 146 ]

cuba fikir kembali, tentu ada orang seperti diatas yang dikenalimu. terkadang sedih melihat mereka dengan ideologi barat dan kafir mereka.

begitulah hukum Allah, ringkas.
Mereka telah lupa kepada Allah, maka Allah melupakan mereka”.
(At-Taubah : 67)

Hm....Jadi bagaimana caranya untuk sentiasa mengingati Allah?
Allah telah pun memberi petunjuk(hint) didalam kitabNya.

"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal.
(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata) : Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka
[Ali Imran: 190-191]"

Jangan hanya menyebut takbir ketika melatah, berTasbihlah lalu berTahmidlah, lalu berTahlillah, terus berTakbir meMaha besarkan Asma-Nya.

Semoga kita beramal seperti seorang muslim
sehingga kita berupaya melaungkan "saksikanlah! aku seorang muslim!" tanpa keraguan.
Wallahu'alam. Bersama kita Amalkan~

Tuesday, April 27, 2010

dia adalah aku.

aku melihat dia, kelakuannya, amalnya, kerja sehariannya
semuanya seperti biasa. tiada yang menarik tentangnya

aku melihatnya bermain, berkawan, berehat
mana belajarnya?
adakah dia telah lupa akan tujuannya ke universiti?

aku terdengar pujian rakannya terhadapnya,
raut mukaku berubah, layakkah dia dengan pujian sebegitu?
sedangkan solatnya jarang sekali di awal waktu.

dapat aku rasakan, dia cuba untuk menjadi seorang muslim yang baik
pernah dia berkata, dia ingin melaungkan kata ini "saksikanlah aku seorang muslim!"
dia menceritakan dengan penuh semangat.
tapi semuanya hanya pada mulutnya, pada lidahnya.
aku tidak nampak usahanya ke arah cita-citanya.

melihatnya aku sedih, hampa, marah....
aku sedih.....
kerana aku sangat sayang kepadanya
tidak ingin aku berjauhan dengannya
kerana dia adalah aku.....

Friday, April 2, 2010

Gembira sungguh mereka~

entah mengapa, hati aku merasa tenang setiap kali teringatkan mereka. aku jadi rindu untuk dapat mendampingi mereka.

setiap kali melihat mereka, wujud pelbagai perasaan dalam hatiku. Tenang, iri hati, cinta....
terasa sudah lama kami berkenalan walau kami hanya bertentang mata, mengangguk kepala tanda menyapa dan diakhiri dengan senyuman..

aku suka melihat muka mereka yang bersih, berpakaian yang sederhana, dan sentiasa kelihatan sopan walaupun ketika berseorangan.

aku melihat sahabat-sahabat mereka sangat senang dengan kehadiran mereka. disetiap pertemuan mereka dimulakan dan diakhiri dengan senyuman.

dan aku sangat menghormati mereka, kerana kekuatan yang ada pada jiwa mereka. biar datang ujian dunia, biar datang nikmat dunia, dia tetap kelihatan seperti biasa..

dan kerana inilah aku ingin menjadi seperti mereka.....
mereka yang nabi Muhammad s.a.w maksudkan dalam hadithnya


“Sungguh baik nasib orang yang beriman kerana dalam semua keadaan mereka mendapat kebaikan. Dan tidak ada habuan baik seperti ini kecuali bagi mereka yang beriman. Apabila mendapat kesenangan maka ia akan bersyukur, maka syukur itu baik baginya. Dan apabila ditimpa musibah maka ia bersabar, maka sabar itu baik baginya.” (Hadis riwayat Muslim)


bagi mereka, yang baik itu datangnya daripada Allah, dan segala yang datangnya dari Allah adalah baik.

sesungguhnya, Allah dan rasulNya juga lebih mengetahui...

Sunday, March 21, 2010

Maafkan aku jika aku mengeluh....

Wahai Tuhanku yang Maha Memelihara
Tuhan yang menentukan keadaan hati manusia
yang membolak-balikkan hati manusia mengikut kehendak-Nya
tetapkanlah hatiku untuk terus mengharapkan kasihMu

Wahai Tuhanku yang Maha Mengabulkan
Hiasilah aku dengan firmanMu
Sucikanlah hatiku dari maksiat
Janganlah Engkau mengunci pintu hatiku
agar sifat munafik, fasik dan kafir jauh dariku

Wahai Tuhanku yang Maha Mencegah
Aku rindu akan imanku
Aku benci akan maksiatku
Aku berdoa agarku diuji
Agar imanku sentiasa tinggi

Wahai Tuhanku yang Maha Pemberi Petunjuk
Ketika datang ujianMu
Ketika Engkau kabulkan doaku
Aku lupa padaMu
Aku mengeluh pada mahlukMu

Wahai Tuhanku yang Maha Pengampun
Maafkan aku ketika aku mengeluh
Maafkan aku jika aku mengeluh
Maafkkan aku kerna lupa padaMu
maafkan aku, maafkan aku, maafkanlah aku



رَبَّنَا وَلا تُحَمِّلْنَا مَا لا طَاقَةَ لَنَا بِهِ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا أَنْتَ مَوْلانَا فَانْصُرْنَا عَلَى
الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ
Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau pikulkan kepada Kami apa Yang Kami tidak terdaya memikulnya. dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah Kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum Yang kafir". (2:286)

Saturday, January 23, 2010

Jaga Lidahmu, hatimu, imanmu

Assalamualaikum...

Kebelakangan ini sedih melihat keadaan manusia sekeliling ana. Telinga ini terlalu banyak mendengar tentang kelemahan insan lain melalui mulut "kenalannya" sendiri. Malah ana sendiri turut terjangkit penyakit ini.

antara penyebab utama penyakit ini berleluasa adalah kerana wujudnya perasaan tidak puas hati terhadap seseorang, mengungkit kisah lama dan bila berkumpul beramai-ramai.

Sungguh mudah bagi seseorang untuk menceritakan perangai buruk tentang orang lain dan sukar bagi mereka berbuat sebaliknya.

mata yang selalu melihat keburukan, mulut yang selalu menzahirkan keburukan, badan yang selalu mengamalkan keburukan datangnya dari hati yang tidak dijaga. kerana segala amalan diilhamkan oleh hati, dalam sedar atau tidak.

Terkadang ana berasa risau bila melihat rakan-rakan ana berkumpul disatu tempat sama ada untuk makan atau beristirahat. Kerana tema tajuk utama perbualan biasanya adalah tentang kelemahan manusia selain mereka. Bosan menceritakan kelemahan 'kenalan' mereka yang memang sudah nyata, tema perbualan berubah kepada sangkaan sifat buruk kenalan tadi.

"aku rase die ni ... ... ..., sebab tu die ... ...".

"ala, die tu .. .. .., mcm ko tak biase pulak dengan perangai die"

Firman Allah tentang perkara ini.
"Wahai orang-orang beriman!. Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan(supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mengintip ataupun mencari kesalahan dan kaiban orang, dan janganlah setengah kamu mengumpat setengah yang lain. Adakah seorang daripada kalangan kamu suka memakan daging saudaranya yang mati? Apabila demikian mengumpat, sudah tentu kamu jijik padanya. Oleh itu, larang-larangan itu perlu dipatuhi dan bertakwalahkamu kepada Allah. sesungguhnya Allah penerima taubat, lagi maha mengasihani."
-surah al-Hujarat, ayat 12-

mengumpat sudah seperti suatu budaya. hampir dimana saja ada orang berkumpul, tentu ada lidah yang mengumpat.

yang salah dirasakan betul kerana yang salah itu sudah dijadikan budaya. yang salah dijadikan betul bila nafsu menguasai jiwa. yang salah dilihat seperti betul kerana hati telah buta.

Nasihat dari Allah bila berhadapan dengan situasi sebegini;

"Dan apabila kamu melihat orang yang memperkatakan ayat-ayat kami dengan cara mencaci ataupun mengejek, tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain. Apabila kamu dilupakan oleh syaitan, lalu kamu duduk bersama mereka, janganlah kamu duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim itu, sesudah kamu teringat larangan itu."
-surah al-An'am, ayat 68-

bukan mudah untuk mengubah tajuk perbualan yang sedang hangat, tapi cubalah beberapa kali. jika tidak berjaya maka jauhkanlah diri darinya dan jika tidak terdaya duduk diam tanpa mengambil bahagian dalam perbualan itu.

Sabda Rasulullah s.a.w
"Barangsiapa diantara kamu melihat kemungkaran hendaklah ia merubah dengan tangannya; bila ia tidak mampu, maka dengan lisannya' dan kalau tidak mampu maka dengan hatinya. yang demikian itulah selemah-lemah iman."
-h.r. Muslim-

Jaga Lidahmu! Jaga Hatimu! Jaga Imanmu! jangan sampai kamu dilaknat oleh Allah s.w.t!

"celakalah bagi setiap pengumpat dan pencela"
-surah al-Humazah, ayat 1-


wallahualam...